arena

Arul, Najmi kekal di UniKL

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki UniKL mengesahkan ketua jurulatihnya Arul Selvaraj dan pemain pertahanan Najmi Farizal Jazlan yang kini menjadi buruan Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak akan dilepaskan bagi membantu pasukan itu menghadapi kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Menurut Presiden Kelab Hoki UniKL, Datuk Amir Azahar, sukar untuk pihaknya melepaskan Arul yang sudah enam musim bersama UniKL serta Najmi kerana mereka antara komponen penting pasukan.

“Buat masa ini Arul dan pakar sudut penalti, Najmi masih lagi mempunyai kontrak bersama UniKL sehingga penghujung 2018 dan kedua-dua mereka antara komponen penting dalam perancangan kami bagi mengharungi kempen musim depan.

“Malah, pasukan THT sendiri tidak ada menghubungi kami untuk mendapatkan khidmat jurulatih dan pemain yang dimaksudkan itu.

“Insya-Allah kami akan memaklumkan senarai pemain untuk musim 2019 sebaik sahaja Arul kembali dari Ireland atau selewat-lewatnya hujung minggu ini,” kata Amir ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pengendali berusia 44 tahun itu dan Najmi, 23, masih belum memutuskan sama ada mahu kekal bersama pasukan berstatus universiti itu ketika kontrak mereka hanya berbaki kira-kira dua minggu.

Segala-galanya kini terpulang kepada kedua-dua individu yang membantu UniKL menjuarai saingan Piala TNB tahun ini, biarpun Najmi dalam laporan semalam membayangkan sedia meneruskan khidmat selagi diperlukan.

Difahamkan, Arul dan Najmi hanya akan membuat keputusan sebaik berbincang dengan pihak UniKL minggu ini.

Terdahulu, Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohamad Saberi Salleh dalam pendedahannya kepada NSTP Sukan kelmarin mengesahkan berminat mendapat khidmat Arul dan Najmi.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 5:07pm
d