arena

Salah kejutkan Napoli

Oleh AFP

PARIS: Jaringan Mohamed Salah pada babak pertama serta tindakan menyelamat menarik penjaga gol Liverpool, Alisson pada minit terakhir memastikan mereka mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, selepas menumbangkan Napoli 1-0, sebentar tadi.

Naib juara musim lalu - Liverpool menyedari mereka wajib menang 1-0 atau lebih dua gol untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik dari Kumpulan C, dan gol Salah pada minit ke-34 sudah memadai untuk menyingkirkan Napoli.

Skuad Jurgen Klopp bijak memanfaatkan kelebihan beraksi di Anfield dan selepas beberapa kali terlepas peluang, Salah akhirnya menemui sentuhan jaringan apabila meledak pada sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol, David Ospina.

Salah, meneruskan tekanan pada badak kedua namun, Ospina berjaya menyelamatkan keadaan termasuk percubaan Jordan Henderson dan James Milner.

Pelawat yang dikemudi Carlo Ancelotti berpeluang menyamakan kedudukan apabila pemain gantian, Arkadiusz Milik yang tidak dikawal melakukan percubaan berbahaya, namun Alisson berjaya menyelamatkan keadaan menggunakan kakinya.

Klopp, pengendali dari Jerman menghamburkan pujian kepada pasukannya termasuk Alisson yang dianggap cukup cemerlang.

“Wow...lihatlah perlawanan ini. Saya tidak pasti sama ada pengurus lain lebih berbangga dengan pasukan yang dimilikinya berbanding saya,” kata Klopp kepada BT Sport.

"Mo Salah menjaringkan gol yang sukar dipercayai dan saya sendiri tidak pasti bagaimana Alisson menyelamatkan percubaan seperti itu. Ia memang menakjubkan.

“Semua pemain cukup cemerlang. Cara kami menekan mereka (Napoli) membuatkan mereka terpaksa menukar corak permainan.

“Kami cukup kuat secara fizikal dan mereka seolah-olah hilang punca,”

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 8:50am
d