arena

Dortmund juarai Kumpulan A

Oleh AFP

MONACO: Borussia Dortmund menjuarai Kumpulan A, untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menewaskan Monaco kendalian Thierry Henry 2-0, sebentar tadi.

Pemain Portugal, Raphael Guerreiro meledak dua jaringan untuk membolehkan pelawat meraih tiga mata, manakala Atletico Madrid pula terikat tanpa jaringan menentang Club Brugge.

Lucien Favre melakukan sembilan pertukaran ketika menang aksi setempat menentang Schalke pada Sabtu lalu untuk meneruskan rekod tanpa tewas di Bundesliga.

Henry pula menurunkan empat pemain remaja dalam perlawanan yang tidak memberi sebarang makna kepada kelab Ligue 1 yang menamatkan saingan di kedudukan terbawah dua musim berturut-turut, selepas tumbang kepada Atletico pada perlawanan kelima.

Monaco gagal menang dalam 14 perlawanan di pentas Eropah, dengan lawannya dari Jerman itu melangkah ke pusingan kalah mati.

Dalam aksi tadi, hantaran rendah penyerang, Maximilian Philipp dalam kotak penalti disambut Guerreiro untuk meledak jaringan pertama pada minit ke-15.

Pertahanan tengah, Abdou Diallo mensia-siakan peluang terbaik menggandakan jaringan ketika perlawanan memasuki tempoh setengah jam, apabila percubaannya tersasar walaupun tidak dikawal dalam kotak penalti.

Guerreiro meledak jaringan kedua di penghujung perlawanan, yang juga gol keempat dalam kejohanan musim ini.

Aksi antara Club Brugge dan Atletico berakhir tanpa jaringan di Belgium, sekali gus membolehkan Dortmund mengatasi kelab Sepanyol untuk muncul juara kumpulan berdasarkan rekod pertemuan mereka.

Kedua-dua pasukan berkongsi 13 mata selepas mengharungi enam perlawanan peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 8:52am
d