arena

Ketiadaan Syahmi, Syazwan dan Aidil dirasai

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kehilangan tiga tonggak pertahanan - Aidil Zafuan Abd Radzak, Syahmi Safari dan Syazwan Andik - nyata dirasai apabila skuad Harimau Malaya gagal membawa bekalan selesa ke Hanoi selepas sekadar terikat 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Bekas pengendali kebangsaan, B Sathianathan berkata, kegagalan tindak balas pertama atau reaksi awal daripada pemain pertahanan adalah punca utama kubu negara mudah dibolosi dalam perlawanan itu.

Katanya, berdasarkan aksi terdahulu ketika menentang Thailand, Aidil, Syahmi dan Syazwan sering bertindak balas pantas dengan memotong hantaran pemain lawan yang akhirnya sukar untuk mereka merancang serangan ke bahagian depan.

"Ia berbeza daripada perlawanan sebelum ini. Pertahanan kita nampak lambat dengan pergerakan awal untuk menyekat penyerang Vietnam yang cukup laju.

"Kalau masalah itu tidak berlaku, saya percaya perlawanan akan berubah dan mungkin Vietnam tidak mendapat gol. Jadi, untuk aksi timbal balik di sana nanti, saya harap tiga pemain (Aidil, Syazwan dan Syahmi) yang tidak diturunkan akan bermain semula," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Kecederaan hamstring dialami Aidil dan Syazwan pada aksi separuh akhir menentang Thailand menyaksikan kedua-duanya terpaksa diketepikan dengan Irfan Zakaria dan Nazirul Naim Che Hashim mengisi kekosongan itu.

Syahmi yang turut diketepikan susulan layangan kad merah selepas menerima dua kad kuning di Bangkok terpaksa digantikan dengan Amirul Azhan Aznan yang disenaraikan buat pertama kali dalam kesebalasan utama.

Bagaimanapun, impak yang diharapkan gagal apabila Vietnam mudah melepasi pertahanan dan berjaya mendahului 2-0 menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy (m-25).

Ketinggalan 2-0 langsung tidak mematahkan semangat pemain negara apabila bangkit menerusi tandukan Shahrol Saad (m-36) sebelum Safawi Rasid meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada babak kedua.

"Apapun, saya memuji semangat juang pemain negara yang bangkit semula menyamakan kedudukan. Bukan mudah sebenarnya untuk mereka bangkit dan ini menguji karektor serta kualiti pasukan kita.

"Saya yakin dan percaya Tan Cheng Hoe akan melakukan sesuatu dan memperbaiki kelemahan sedia ada. Tidak mustahil kita mampu menang di sana," kata Sathianathan yang kini menggalas tugas ketua jurulatih pasukan Selangor.

Hasrat Malaysia untuk mengulangi pencapaian 2010 dengan menjulang kejuaraan itu tampak sukar selepas skuad Naga Emas kini memilki kelebihan gol tempat lawan sebagai bekalan.

Begitupun, skuad negara masih berpeluang namun wajib meraih kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 di Hanoi.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 5:00pm
d