arena

Aidil, Syahmi, Syazwan sedia beraksi [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

SEPANG: Trio pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak, Syazwan Andik dan Syahmi Safari sudah bersedia untuk diturunkan pada perlawanan akhir kedua, Piala AFF menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Aidil dan Syazwan yang mengalami kecederaan hamstring dan Syahmi yang digantung satu perlawanan akibat layangan kad merah pada separuh akhir menentang Thailand dijangka akan kembali mengisi senarai kesebelasan utama.

Semua pemain ini diketepikan ketika perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Pada aksi itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe gagal membawa bekalan selesa apabila diikat skuad Naga Emas 2-2, sekali gus memberi kelebihan kepada bekas juara 2008 itu menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Jelas Aidil, 31, dia yang sekadar memanaskan bangku simpanan mengakui 'geram' melihat kelincahan penyerang Vietnam dan berazam untuk menyekat pergerakan mereka jika diturunkan nanti.

"Kecederaan saya 'OK' dan sudah pulih, dan kalau jurulatih menurunkan saya, sudah tentu saya akan beri sepenuh tenaga untuk memastikan benteng pertahanan kita tidak dibolosi," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang

Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

"Memang 'geram' bila tengok Vietnam di atas lebih-lebih bila mereka dapat gol. Rakan-rakan dah buat yang terbaik dan kami dapat juga menjaringkan dua gol penting.

"Seperti saya kata tadi, jika jurulatih beri kepercayaan saya akan bermain sehabis mungkin untuk membawa Piala AFF ke Malaysia tahun ini," kata pertahanan tengah yang beraksi untuk kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Syazwan, 22, yang beraksi di posisi pertahanan kiri juga berjanji akan mencurahkan komitmen 200 peratus bagi mengekang asakan tuan rumah yang dijangka akan menguasai perlawanan itu.

"Saya sudah pulih dan semalam baru menjalani latihan bersama pasukan. Terus terang, saya ada terpendam dalam hati tak dapat beraksi pada pusingan pertama, Selasa lalu.

"Dan, untuk perlawanan kedua ini, saya tak akan lepaskan peluang untuk beraksi dan cuba memberi persembahan terbaik kepada pasukan," kata pemain Kuala Lumpur itu.

Bagi tonggak pertahanan kanan Selangor, Syahmi - dia juga cukup bersedia untuk kembali mengukuhkan benteng negara dan percaya keputusan positif mampu dilakar biarpun beraksi di depan puluhan ribu penyokong Vietnam.

"Tekanan memang ada tetapi kami semua dah biasa dengan situasi sekarang. Macam perlawanan dengan Thailand pun, kami pergi ke Bangkok tanpa ada kelebihan gol, namun kami berjaya menjaringkan gol juga di sana.

"Tak ada apa yang mustahil, asalkan kami fokus dan beri sepenuh komitmen, insha-Allah kejayaan akan hadir," katanya yang menjaringkan gol cantik tercantik kejohanan ketika menentang Thailand di peringkat separuh akhir kedua.

Skuad Harimau Malaya bakal turun beraksi di perlawanan akhir keempat Piala AFF dan kali ini menentang Vietnam bagi memburu kejuaraan kedua, selepas kali terakhir menjulangnya pada 2010.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 11:03am
d