arena

'Turun dengan keyakinan tinggi'

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Biarpun Vietnam dianggap pilihan menjuarai Piala AFF 2018, namun tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk melakar kejuatan pada final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Bekas perancang tengah Harimau Malaya, Badhri Radzi menegaskan skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu turun dengan keyakinan tinggi dan tidak usah gerun dengan sebarang tekanan di stadium keramat Naga Emas.

Badhri yang berada dalam skuad kebangsaan sewaktu saingan Piala AFF 2014, menjelaskan sejarah sudah membuktikan Vietnam sebenarnya tidak terlalu kebal digelanggang sendiri selepas kecundang 2-4 kepada Harimau Malaya pada aksi separuh akhir kedua ketika itu.

“Pada 2014 kita tewas 1-2 di Shah Alam dan perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 di Vietnam. Tapi dengan keyakinan tinggi semua pemain kita berjaya menewaskan mereka 4-2 di Hanoi.

“Tapi bezanya kali ini tugas lebih mudah Harimau Malaya apabila hanya perlu menang tanpa mengira jaringan selepas seri 2-2 di Bukit Jalil,” kata Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya.

“Sebab itu saya kata tiada yang mustahil, kerana jika menang 1-0 pun sudah cukup buat Malaysia. Semua pemain hanya perlu yakin kepada diri sendiri dan semua rakan sepasukan.

“Jangan terlalu fikir kelebihan Vietnam bagi mengelak daripada tekanan dan pemain hanya perlu turun beraksi seperti biasa.”

Empat tahun lalu, puluhan ribu penyokong di Stadium My Dinh menjadi saksi kebangkitan dramatik Harimau Malaya untuk menyingkirkan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF dengan agregat 5-4.

Kali ini, Harimau Malaya hanya memerlukan kemenangan tipis atau sekurang-kurangnya 3-3 selepas terikat 2-2 pada aksi pertama di Satdium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Selain itu, Piya juga percaya aksi di hadapan penyokong Vietnam tidak perlu dijadikan masalah utama untuk Harimau Malaya sekali lagi mengulangi sejarah 2014 di Hanoi.

“Mungkin Vietnam ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, tapi itu bukan masalah utama. Malah, penyokong kita pun ramai yang akan ke sana untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

“Kita sebagai pelawat juga boleh melakukan sesuatu dan saya percaya dengan barisan pemain berkualiti yang ada dalam skuad ketika ini, Malaysia mampu muncul juara Piala AFF 2018,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 4:49pm
d