arena

'Maaf, tak sengaja terajang kepala'

Oleh AFP

AMSTERDAM: Penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller memohon maaf susulan tindakannya menendang kepala pertahanan Ajax, Nicholas Tagliafico pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Tendangan ala kungfu terhadap pemain lawan itu menyebabkan penyerang Jerman itu dilayangkan kad merah dalam aksi yang berkesudahan seri 3-3.

“Tidak, tidak, sudah tentu saya tak sengaja,” kata pemain berusia 29 tahun itu selepas menerima kad merah pertama kariernya selepas 462 penampilan bersama Bayern.

Keputusan di gelanggang Ajax itu menyaksikan kedua-dua pasukan melangkah ke peringkat 16 terakhir.

Mueller berkata, dia pergi ke bilik persalinan tuan rumah selepas perlawanan untuk meminta maaf kepada Tagliafico tetapi pemain yang menjaringkan gol penyamaan lewat pada minit ke-95 sudah tiada.

Justeru, Mueller menulis dalam laman Instagram kepada “@tagliafico3 - Saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku semalam! Ia tak disengajakan. Semoga pulih dengan cepat.”

Mueller diarahkan keluar padang 15 minit sebelum tamat ketika cuba mengambil bola hantaran jauh tetapi kakinya tiba tepat ke kepala Tagliafico yang kemudian memerlukan rawatan.

Rakan sepasukan pemain itu dan jurulatihnya turut bersetuju ia kesalahan kad merah.

“Thomas tidak nampak,” kata bos Bayern, Niko Kovac. “Tapi ia jelas kad merah, dia sepatutnya lebih berwaspada terhadap lawannya.”

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 10:24pm
d