arena

Aura Ronaldo perkasa Valladolid

Oleh Reuters

MADRID: Bekas penyerang bintang Real Madrid dan Brazil, Ronaldo mendedahkan keputusannya untuk membeli kelab Sepanyol, Real Valladolid awal tahun ini.

Bekas pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia itu membeli 51 peratus saham kelab itu pada September lalu dan mengakui ia sesuatu yang dinanti-nantikan olehnya.

“Saya mencari sesuatu untuk dilakukan selama dua tahun, saya melihat untuk membeli pasukan di Sepanyol dan England, dan Valladolid rasa seperti hadiah,” katanya.

“Bukan saja ia kelab yang memiliki 90 tahun sejarah di belakangnya, ia adalah bandar dengan 300,000 penduduk yang menggemari bola sepak jadi ia bermakna potensi yang besar.

“Untuk berjaya memberi inspirasi kepada orang adalah lebih baik berbanding menjaringkan hatrik menentang Barcelona. Saya memperoleh apa yang saya ingin mahukan dan saya juga perlu pulangkan kepada mereka kembali.”

Ronaldo juga menyokong cadangan La Liga untuk membawa perlawanan ke Amerika Syarikat ketika Barcelona menolak untuk meneruskan cadangan berkenaan berikutan perselisihan faham antara pihak penganjur pada awal minggu ini.

“Bermain di luar negara sejajar dengan projek kami. Kamu perlu dikenali di tempat sendiri dan juga di luar negara. Saya menggemarinya, tetapi peminat kami akan menentukan keputusannya.

“Ia adalah cadangan yang menarik untuk kelab dan jenama kami,” katanya yang mengakui cuba menggunakan pengaruhnya di Real untuk mendapatkan beberapa pemain antaranya Vinicius Junior ke kelab itu secara pinjaman.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 11:40pm
d