arena

Djokovic, Halep terbaik ITF 2018

Oleh AFP

LONDON: Novak Djokovic dan Simona Halep masing-masing dinamakan sebagai Juara Dunia Persekutuan Tenis Dunia (ITF) 2018, hari ini.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic menerima penghargaan daripada badan induk berkenaan buat kali keenam manakala Halep yang menghuni ranking teratas kategori wanita menerimanya buat julung kali.

“Saya amat berbangga untuk dinamakan sebagai Juara Dunia ITF sekali lagi,” kata Djokovic yang kembali mendaki ranking teratas dunia selepas bangkit daripada kecederaan dengan memenangi Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat tahun ini.

“Saya sememangnya berbangga dengan pencapaian ini selepas apa yang saya terpaksa tempuhi secara fizikal pada tahun ini, tetapi sebahagian daripada diri saya sentiasa percaya saya mampu kembali ke puncak.

“Ia sesuatu yang amat memuaskan untuk menyertai Pete Sampras dengan memenanginya sebanyak enam kali.”

Pemain kelahiran Romania, Halep juga menikmati kejayaan memenangi Grand Slam pada tahun ini dengan menjulang gelaran utama pertamanya di Roland Garros dan mara ke final Terbuka Australia.

“Suatu penghormatan yang besar untuk dinamakan sebagai Juara Dunia ITF buat pertama kali. Saya memperoleh tahun yang menakjubkan, memenangi gelaran Grand Slam pertama saya di Roland Garros dan mengakhiri tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia.”

Pasangan beregu Amerika Syarikat, Mike Bryan dan Jack Sock memenangi anugerah berkenaan bagi kategori beregu lelaki manakala kategori beregu wanita menjadi milik gandingan Barbora Krejcikova dan Katerina Siniakova.

ITF menggunakan sistem yang objektif untuk menilai segala keputusan sepanjang tahun ini tetapi memberi penekanan terhadap kejohanan Grand Slam selain dua kejohanan antarabangsa, Piala Davis dan Piala Fed.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 12:24am
d