arena

Valencia sedia tinggalkan MU

Oleh Agensi

MANCHESTER: Kapten Manchester United, Antonio Valencia bersedia meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan Januari ini, selepas akur bahawa sukar untuknya kembali memenangi kepercayaan Jose Mourinho.

Ejen Valencia sudah berada di Manchester minggu ini untuk berbincang - ketika pertahanan berusia 33 tahun itu yang menarik minat West Ham dan kelab dari Sepanyol, masih belum menerima sebarang tawaran baharu.

Hubungan dingin Valencia dan Mourinho bermula sebaik saja terikat 0-0 dengan Valencia dalam pertemuan Liga Juara-Juara Oktober lalu, selepas dia menyokong muat naik Instagram supaya pengendali dari Portugal itu dipecat.

Pemain antarabangsa Ecuador itu segera membuat permohonan maaf terbuka kepada Mourinho ketika sesi latihan di United, namun sejak itu, dia 'dibekukan' sebelum kembali beraksi pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Young Boys dan Valencia.

Valencia nyata tidak gembira dengan layanan diterimanya dan ragu-ragu sama ada hubungannya dengan Mourinho mampu dipulihkan, selepas kedua-dua mereka langsung tidak bercakap ketika ini.

Sebelum ini, Mourinho pernah mengkritik keadaan Valencia selepas dia melaporkan diri pada sesi pra-musim dalam bentuk fizikal berat berlebihan.

Mourinho kemudian menggugurkannya daripada tugasan kapten selepas tidak beraksi ketika tumbang pada Derby dalam saingan Piala Liga pada September lalu, walaupun sebenarnya tidak disenaraikan.

United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya yang menerima gaji 100,000 pound (RM520,000) seminggu, untuk tempoh setahun lagi sebelum ia tamat pada musim panas nanti.

Valencia adalah pemain paling lama di United ketika ini, membuat 337 penampilan sejak berpindah dari Wigan pada 2009 dengan nilai harga 16 juta pound (RM 84.5 juta), namun hanya diturunkan tujuh kali musim ini.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 11:39am
d