arena

'Kena julang trofi'

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho berkata pendekatan terbaik untuk mengukur kejayaan adalah dengan memenangi trofi menjelang aksi menarik menemukan Manchester United dan Liverpool, hujung minggu ini.

Liverpool mendaki tangga teratas Liga Perdana Inggeris minggu lalu tetapi mereka masih belum menjulang sebarang trofi di bawah kendalian Jurgen Klopp yang tiba ke Anfield pada Oktober 2015.

Juara 18 kali Inggeris itu hanya menang satu piala sejak 12 tahun lalu - Piala Liga di bawah kendalian Kenny Dalglish pada 2012 - sekali pun melangkah ke dua aksi final di pentas Eropah.

Mourinho memenangi Liga Europa dan Piala FA pada musim pertamanya di Old Trafford tetapi menamatkan musim lalu dengan tangan kosong dengan skuad kendaliannya ketika ini ketinggalan 16 mata di belakang Liverpool.

“Ya, saya fikir trofi adalah penting,” kata Mourinho. “Saya fikir ia penting, terutama apabila kamu mempunyai potensi untuk bersaing merebut trofi dan apabila kamu berkata dengan jelas objektifnya adalah memenangi trofi.

“Saya fikir kadang kala hanya bercakap mengenainya tidak begitu bijak. Tetapi apabila kamu mempunyai potensi, tiada apa yang perlu disembunyikan. Saya tidak banyak membacanya tetapi saya fikir mereka (Liverpool) berkata yang objektif mereka adalah menang Liga Perdana.”

Sekali pun Klopp masih belum menjulang trofi di Anfield, Mourinho sedar pengurus Reds itu sedang membina pasukan dengan imejnya sendiri iaitu mengutamakan corak menyerang.

Sebagai perbezaan, pengurus dari Portugal itu percaya perjalanannya untuk memiliki pasukan yang menonjolkan corak permainannya masih jauh.

“Pasukan bola sepak bukan saja membelanjakan wang,” kata Mourinho. “Pasukan bola sepak sedikit sebanyak seperti rumah. Kamu bukan saja membeli perabot untuk rumah kamu. Kamu perlu menyiapkan rumah terlebih dulu dan apabila ia sudah bersedia kamu mula membeli perabot.”

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 12:54am
d