arena

De Bruyne kembali perkasa City

Oleh AFP

MANCHESTER: Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne semakin bersedia untuk disenaraikan beraksi ketika Manchester City bakal mengharungi jadual yang padat bulan ini, kata pengurus Pep Guardiola.

Aguero yang juga penjaring terbanyak City terlepas empat perlawanan terakhir berikutan masalah pangkal paha berjaya menjalani latihan tanpa sebarang masalah dan berkemungkinan diturunkan ketika menentang Everton di Etihad, malam ini.

Perancang Belgium, De Bruyne berdepan masalah ligamen di lutut kanannya pada Ogos dan sekali pun kembali beraksi pada Oktober, kecederaan sama berulang ketika perlawanan Piala Liga menentang Fulham, 1 November lalu.

Begitupun, dia juga sudah kembali menjalani latihan penuh dan Guardiola akan menilai kedua-dua pemain itu dan berharap deretan masalah kecederaan yang dihadapi kelabnya makin menyusut.

“Dia (Aguero) mengharungi dua sesi latihan terakhir, termasuk semalam (Khamis) dan dia langsung tidak merasa sakit di bahagian yang mengalami kecederaan jadi kami akan membuat keputusan,” kata Guardiola.

“Situasi Kevin sama seperti Sergio. Dia turut menjalani latihan tanpa sebarang kesakitan,” kata pengurus dari Sepanyol itu yang kehilangan beberapa tonggak antaranya David Silva, Benjamin Mendy, penjaga gol Claudio Bravo, John Stones, Danilo dan Fernandinho susulan kecederaan.

City kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Hoffenheim dalam kempen Liga Juara-Juara selepas dipalit kekalahan pertama dalam aksi Liga Perdana musim ini apabila tumbang kepada Chelsea, minggu lalu.

Penyandang juara itu boleh merampas kembali kedudukan teratas liga daripada Liverpool jika meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Marco Silva tetapi Guardiola itu menjangkakan pertemuan yang sukar.

Everton menjadi satu daripada tiga pasukan yang bertandang ke Etihad dan pulang tanpa kalah pada musim lalu dengan kelab itu ketika ini menghuni tangga ketujuh liga.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 1:10am
d