arena

'Satu rahmat buat De Bruyne'

Oleh AFP

MANCHESTER: Masalah kecederaan yang menghimpit Kevin De Bruyne musim ini mungkin satu rahmat, kerana itu adalah cara terbaik untuknya pulih daripada tempoh 12 bulan yang memenatkan, kata pengurusnya, Pep Guardiola.

De Bruyne mengalami dua kecederaan lutut sejak Belgium menutup kempen Piala Dunia Russia di tempat ketiga, dan hanya memainkan peranan kecil sepanjang usaha City mempertahankan gelaran Liga Inggeris.

Perjalanan City kini sedikit terjejas, ekoran kekalahan kepada Chelsea minggu lalu.

Perancang tengah itu hanya membuat dua kemunculan musim ini dan Guardiola bimbang untuk tergesa-gesa menurunkannya, walaupun De Bruyne dikatakan sudah cukup cergas untuk pertemuan dengan Everton, hari ini.

‘Kadang kala, pemain pulih dengan begitu baik, kadang kala ia perlukan masa lebih lama. Kami tidak mahu kecederaan, tetapi mungkin kecederaan itu membantu kami,” kata Guardiola.

‘Kini dia kembali lebih segar, sudah pulih dan dia cuba untuk mengelak sebarang kecederaan lagi untuk selalu diturunkan. Sudah tentu dia amat penting buat kami. Dia amat istimewa.”

De Bruyne tampil memukau ketika City muncul selaku pasukan pertama liga tertinggi England yang menghimpun 100 mata semusim pada Mei lalu, memenangi anugerah pemain tahunan pemain terbaik kelab.

Dia hanya kalah tipis kepada penyerang Liverpool, Mohamed Salah bagi anugerah peringkat kebangsaan hasil undian pemain dan penulis sukan.

Bagaimanapun, De Bruyne terpaksa melihat aksi dari tepi padang untuk tempoh lebih 11 bulan, selepas beraksi dalam enam daripada tujuh perlawanan Belgium di Piala Dunia 2018.

Dia mengalami kecederaan ligamen di bahagian lutut kanannya pada Ogos lalu dan walaupun kembali pada Oktober, De Bruyne sekali lagi mengalami kecedeaan sama ketika aksi Piala Liga menentang Fulham, November lalu.  

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 8:45am
d