arena

Amaran keras WADA

Oleh AFP

PARIS: Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) akan menghantar pasukan untuk mendapatkan data daripada makmal anti-doping Moscow, satu daripada syarat penting untuk mengembalikan fungsi Agensi Anti-Doping Russia (RUSADA).

Pasukan teknikal yang terdiri daripada lima individu itu akan bertolak ke Moscow pada Isnin ini untuk ‘mengakses Sistem Pengurusan Maklumat Makmal (LIMS) dan beberapa data lain.

Perkara itu dilakukan dengan mengambil kira keputusan jawatankuasa eksekutif WADA pada 20 September lalu.

Makmal anti-doping Moscow ketika ini berdepan pertuduhan, selepas laporan WADA menemui unsur penipuan Russia dalam menggalakkan atletnya mengambil bahan tambahan yang terlarang.

Makmal itu mempunyai sehingga 31 Disember ini untuk menyerahkan data berkenaan atau RUSADA berisiko digantung sekali lagi.

Ketua Pengarah WADA, Olivier Niggli berkata: “Susulan daripada pertemuan bulan lalu antara WADA dan pihak berkuasa Russia, kami sedang mempersiapkan pasukan teknikal untuk mengakses makmal di Moscow, untuk memenuhi peraturan ketat dalam mengembalikan fungsi RUSADA.

“Mendapat akses penuh ke makmal dan maklumat data menjadi antara alasan di sebalik pertemuan 20 September lalu.

“Dan kami gembira kerana hanya tinggal satu lagi langkah untuk kami melengkapkan siasatan. Data mentah itu akan melengkapkan pendua data LIMS yang sudah disimpan WADA sekali gus boleh kami merumuskan semua insiden yang tejadi.”

WADA berkata, data yang terkandung di dalam makmal itu perlu dinilai dan disahkan sepenuhnya, selepas itu ia akan diuji, untuk melihat persamaannya dengan sampel yang berada dalam simpanan pihaknya, bagi membina kes terhadap atlet yang melakukan penipuan.

 

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 11:11am
d