arena

Siapa mereka desak saya berundur: Walsh

Oleh Saiful Affendy Sapran

SEPANG: Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh tidak mempedulikan desakan supaya meletak jawatan, berikutan kegagalan skuad hoki lelaki negara pada kempen Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

Sebaliknya, Walsh menegaskan akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa dengan fokus selepas ini menyediakan skuad terbaik menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan di Kuala Lumpur.

“Komen saya ialah kesemua yang bercakap itu juga tidak mempunyai kelayakan yang tinggi (selaku jurulatih).

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka ini. Mereka mungkin tidak faham apa yang kami lakukan.

“Untuk membentuk pasukan yang baik, ia memerlukan proses jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini.

Walsh berkata, secara perbadi beliau juga agak kecewa dengan persembahan skuad negara di Bhubaneswar.

“Pemain tidak beraksi pada tahap sebenar mereka dan akhirnya kami terpaksa membayar harga yang tinggi berikutan kegagalan ini,” katanya.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan desakan bekas legenda negara, Datuk Poon Foke Loke yang meminta MHC menamatkan khidmat Walsh selepas gagal memberi impak besar sepanjang tiga tahun menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

Pandangan Loke itu mendapat sokongan Naib Presiden MHC, Datuk Radhakrishnan Nair dan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah sambil menegaskan teguran mereka itu adalah untuk kebaikan arena hoki negara.

Malaysia tersingkir awal pada pentas Piala Dunia, selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan D yang turut dihuni Belanda, Jerman dan Pakistan.

Sebelum ini, Malaysia gagal dalam misi untuk meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 selepas muncul naib juara di Sukan Asia Jakarta dan Palembang apabila tewas kepada Jepun pada perlawanan akhir.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 1:11pm
d