arena

'North West Derby' popular di Brazil

Oleh Agensi

LIVERPOOL: Alisson mengakui perseteruan Liverpool dengan Manchester United lebih popular di Brazil berbanding dengan pertembungan Merseyside itu sendiri.

Penjaga gol skuad The Reds itu sudah bersiap sedia beraksi dalam perlawanan sulungnya berdepan Manchester United, dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Isnin ini.

Dia yang diikat dari Roma dengan nilai 64 juta pound (RM337.260 juta) melihat pertembungan itu sebagai peluang terbaik untuk membantu pasukannya melebarkan jurang ke atas pencabarnya kepada 19 mata.

“Dua kelab terdahulu saya, Internacional dan Roma, mereka mempunyai dua musuh setempat, jadi saya sudah terbiasa dengan aksi setempat dan permusuhan Liverpool-United diketahui seluruh dunia,” katanya.

“Kami di Brazil sering menantinya, malah kami lebih mengetahuinya berbanding perseteruan antara Liverpool dan Everton, tetapi mengetahuinya dan menempuh pengalamannya adalah dua perkara berbeza.

“Saya sudah tidak sabar untuk merasai pengalamannya dan keindahan bola sepaknya.”

Alisson membuat satu gerakan menyelamat pada detik akhir ketika berdepan Napoli awal pagi Rabu lalu, dan jika bolos pada ketika itu, Liverpool pasti tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara.

“Perlawanan menentang Napoli amat istimewa, kami perlu mendapat keputusan dan terus dibakar semangat oleh penyokong,” kata Alisson.

“Saya tidak fikir terdapat perbezaan dengan perlawanan esok (Isnin). Ia perlawanan yang penting dalam terus menjadi inspirasi terhadap pemburuan gelaran liga.”  

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 2:17pm
d