arena

Ronaldo wira Juventus

Oleh Reuters

TURIN: Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti pada babak kedua sebelum dilayangkan kad kuning, susulan provokasi ke atas penjaga gol lawan, Salvador Ichazo ketika Juventus menewaskan Torino 1-0 pada aksi tetangga menarik, awal pagi tadi.

Torino, yang cuma sekali pernah menewaskan kelab jiran mereka yang jauh lebih besar itu sejak 23 tahun lalu tampil dengan persembahan bertenaga, sebelum dikecewakan oleh kesilapan penyerang, Simone Zaza.

Selepas menewaskan Leonardo Bonucci, Zaza melakukan hantaran ke belakang kepada Ichazo, tetapi ia dapat dipintas Mario Mandzukic sebelum penyerang Croatia itu dijatuhkan penjaga gol gantian Torino.

Penyerang sensasi Portugal, Ronaldo melengkapkan penalti berkenaan yang juga jaringan ke-5,000 Juve dalam kancah Serie A, dengan pendahulu liga itu mengutip 46 daripada 48 mata yang ditawarkan setakat ini.

Sejurus menjaringkan gol, Ronaldo bertindak berlari ke arah Ichazo dan sengaja melanggar bahu pemain berkenaan ketika dia menyambut jaringan ke-11 miliknya dalam saingan liga elit Itali itu musim ini.

Jaringan itu menyaksikan Ronaldo kini berkongsi kedudukan pendahulu senarai penjaring terbanyak Serie A bersama penyerang Genoa,  Krzysztof Piatek.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 8:33am
d