arena

Rating pemain Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Berikut adalah rating pemain skuad Harimau Malaya selepas tamat perlawanan akhir kedua, Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Hanoi, malam tadi.

Penjaga gol – Farizal Marlias (5/10)

Farizal sebenarnya tidak banyak diuji pada aksi malam tadi jika dibandingkan dengan aksi pertama, Selasa lalu. Dia dilihat boleh melakukan tindakan lebih baik untuk menyelamatkan gol awal Vietnam yang dihasilkan Nguyen Anh Duc pada minit keenam.

Pertahanan – Syahmi Safari (6/10)

Kehadiran semula Syahmi selepas penggantungan sangat diharapkan mampu untuk menyumbang sesuatu terutama gandingannya bersama Mohamadou Sumareh di bahagian kanan. Rembatannya pada penghujung babak pertama yang ditepis penjaga gol, Dang Van Lam boleh dianggap antara percubaan terbaik Harimau Malaya pada perlawanan itu.

Pertahanan – Aidil Zafuan Abd Radzak (5/10)

Aidil juga antara tonggak yang sangat diharapkan untuk mengawal kubu, tetapi aksi malam tadi boleh dianggap bukan persembahan terbaiknya berbanding sebelum ini dengan dia terpaksa digantikan Syafiq Ahmad pada 15 minit terakhir permainan.

Pertahanan – Shahrul Saad (5/10)

Shahrul boleh dianggap gandingan paling mantap bersama Aidil dalam skuad negara di posisi pertahanan tengah sepanjang Piala AFF. Memberikan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan tapi menamatkan kejohanan dengan kad merah pada masa kecederaan.

Pertahanan – Syazwan Andik Ishak (5/10)

Syazwan dilihat melakukan sedikit kesilapan apabila lambat untuk menutup ruang bagi menyekat Anh Duc melakukan sepakan voli, sekali gus menjadi jaringan tunggal perlawanan.

Tengah – Akram Mahinan (4/10)

Akram gagal mengatasi jeneral tengah Vietnam dan dilihat lebih banyak membuat hantaran ke belakang ketika Harimau Malaya berusaha memecahkan kebuntuan jaringan. Bagaimanapun dia hanya digantikan dengan Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-85.

Tengah – Syamer Kutty Abba (5/10)

Syamer juga dilihat gagal memberikan persembahan terbaik sebagai perancang tengah. Kegagalannya membuat hataran lebih berbahaya kepada penyerang untuk menembusi benteng Vietnam menyaksikan tidak banyak percubaan dapat dilakukan.

Sayap – Mohamadou Sumareh (7/10)

Sumareh tidak berjaya memberi impak yang besar buat Harimau Malaya pada aksi malam tadi. Pemain Pahang ini melepaskan peluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-11 selepas sepakan ke belakangnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Vietnam. Peluang kedua Sumareh pada awal babak kedua di mana tandukannya yang berpunca daripada sepakan sudut diselamatkan Van Lam.

Sayap – Safawi Rasid (6/10)

Safawi menjadi pemain paling banyak melakukan percubaan ke pintu gol Vietnam, namun sepakan lemah dan tidak menepati sasaran mengecewakan kem Malaysia. Percubaan terbaiknya menerusi sepakan percuma pada babak kedua yang menuju tepat ke arah pintu gol tetapi belum cukup untuk menewaskan Van Lam.

Penyerang – Norshahrul Idlan Talaha (5/10)

Penjaring terbanyak Harimau Malaya dalam kejohanan kali ini tidak mendapat peluang untuk melakukan percubaan dan dia dilihat bergelut untuk melepasi kawalan rapi pemain pertahanan Vietnam.

Penyerang – Zaquan Adha Abd Radzak (4/10)

Selaku kapten, tugas besar perlu dipikul Zaquan kerana dia bukan sahaja bertindak sebagai penyerang, tetapi perlu memastikan keseluruhan pasukan beraksi baik. Dia juga tidak dapat melakukan banyak percubaan dan prestasinya malam tadi tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Pemain gantian:

Syafiq Ahmad (3/10)

Masuk sebagai pemain gantian ketika permainan berbaki 15 minit, tetapi selaku penyerang tambahan Syafiq juga tidak mampu mengubah nasib Harimau Malaya.

Akhyar Rashid (1/10)

Kemasukan Akhyar pada minit ke-83 dianggap sudah terlambat untuk dia melakukan sesuatu di bahagian serangan.

Shahrel Fikri Fauzi (1/10)

Masuk menggantikan Akram ketika masa sebenar hanya berbaki lima minit dan hakikatnya tiada harapan besar yang boleh diletakkan kepada Shahrel untuk membantu Harimau Malaya bangkit mencari dua gol untuk menang.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 9:45am
d