arena

West Ham sasar enam terbaik

Oleh Agensi

LONDON: Manuel Pellegrini menetapkan sasaran untuk pasukannya menamatkan saingan dalam kedudukan enam terbaik, selepas West Ham United menyambar kemenangan keempat berturut-turut di Fulham, awal pagi tadi.

Tempoh kendalian Pellegrini bermula dengan empat kekalahan berturut-turut, namun kemenangan ke atas Fulham 2-0 di Craven Cottage menyaksikan pengendali dari Chile itu merakamkan kebangkitan mendadak.

Mereka kini buat kali pertama merakam empat kemenangan berturut-turut sejak Februari 2014 dan hanya dipisahkan dua mata dengan penghuni tangga keenam Manchester United yang bertandang ke Liverpool, awal pagi esok.

Robert Snodgrass meletakkan The Hammers di depan seawal minit ke-17, sebelum jaringan Michail Antonio pada minit ke-29 terus menyentap semangat Fulham di babak pertama.

“Kami amat gembira , untuk mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bukannya mudah,” kata Pellegrini.

“Kami tidak mencipta banyak peluang, tetapi kami menjaringkan gol setiap kali mendapat peluang dan kami juga bertahan dengan baik terutamanya di separuh masa kedua.

“Adakah tangga keenam menjadi sasaran kami? Ya ia adalah sasaran besar kami selepas gagal mengutip mata daripada 12 mata pertama, kami sama sekali tidak menjangkakan kini hanya dua mata memisahkan kami dengan slot ke pertandingan Eropah.

“Kami kini boleh bercakap mengenai bahagian atas carta dan bukan lagi mengenai dasar carta liga, saya fikir ia adalah ketetapan sasaran baharu kami untuk musim ini.

“Lima pasukan teratas menghimpun banyak mata, tetapi kami akan cuba terus mencatat kemenangan dan melihat kesudahan kedudukan kami.”

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 12:07pm
d