arena

Formula 70/30 beri kesan positif

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Biarpun gagal merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua, hakikat yang harus diakui ada petanda positif yang ditunjukkan dalam persembahan skuad Harimau Malaya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa menjelaskan keberanian jurulatih Tan Cheng Hoe menggunakan formula 70/30 iaitu 70 peratus pemain muda dan 30 peratus pemain senior dilihat berjaya membentuk permainan yang lebih menarik berbanding sebelum ini.

Sambil mengakui masih ada perkara yang perlu diperbaiki, beliau bagaimanapun berkata skuad Harimau Malaya ketika ini sudah berada pada landasan yang betul untuk berubah seiring dengan corak permainan bola sepak moden.

"Secara keseluruhan saya bangga sebab formula yang saya canangkan dulu 70/30 menunjukkan hasil walaupun tidak merangkul piala. Tapi ia dalam proses kematangan dan saya lihat pasukan negara berada pada landasan yang betul.

"Apa yang penting barisan pemain muda perlu cepat mematangkan permainan mereka terutama aspek kemahiran individu bagi mengisi kekosongan yang  bakal ditinggalkan pemain senior seperti Zaquan Adha Abd Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Kita ada pelapis di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan apa yang perlu dilakukan adalah memberikan mereka lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa dan mengharungi perlawanan yang lebih kompetitif," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Cheng Hoe menyenaraikan lebih separuh pemain berusia bawah 26 tahun untuk kempen Piala AFF kali ini dengan empat pemain muda bawah 23 tahun - Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Syazwan Andik Ishak dan Syahmi Safari - menjadi tonggak utama.

Hanya enam pemain berusia 29 ke atas yang disenaraikan Cheng Hoe dengan kapten Zaquan Adha Abd Radzak, Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak yang digunakan dalam kesebelasan utama.

Skuad Harimau Malaya terpaksa akur melepaskan Piala AFF kepada Vietnam selepas tumpas menerusi agregat 3-2 susulan kekalahan 0-1 pada final kedua di Stadium My Dinh, malam tadi.

Selain itu, Sadek turut berpendapat falsafah mengenai bola sepak moden perlu diperkemaskan lagi dalam permainan Harimau Malaya untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 yang dijangka bermula tahun depan.

"Sekarang ini kita mampu layak ke final Piala AFF dan kita perlu fokus kepada kejohanan peringkat Asia pula. Jika berjaya mempamerkan prestasi yang baik di peringkat Asia, tidak mustahil kita boleh berada pada landasan terbaik untuk harungi kelayakan Piala Dunia nanti," katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 7:06pm
    d