arena

Dier terpaksa berehat panjang

Oleh Reuters

LONDON: Pemain tengah Tottenham Hotspur, Eric Dier bakal terlepas semua perlawanan sepanjang musim perayaan selepas menjalani pembedahan bagi membuang apendiks, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Dier yang sekadar memanaskan bangku simpanan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Selasa lalu terlepas aksi ketika Spurs mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley, semalam.

"Pemain tengah England itu didapati menghidap apendiks selepas bertemu dengan pasukan perubatan kami selepas mengalami sakit perut.

"Dia mendapat rawatan segera dan perlu membuang apendiks. Dia kini perlu berehat bagi menjalani proses pemulihan sebelum hanya dijangka kembali menjalani latihan pada Januari," kata kenyataan dikeluarkan Spurs.

Situasi itu menyaksikan Dier akan terlepas pertembungan dengan Arsenal dalam Piala Liga selain aksi liga menentang Everton, Bournemouth dan Wolverhampton Wanderers pada minggu akhir Disember.

Dier sudah menjaringkan dua gol dalam 13 penampilan musim ini bersama Spurs yang menghuni tangga ketiga liga.

 

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 10:18pm
d