arena

Penang Black Panthers raih kejuaraan berganda

Oleh Azlan Muhammad Zain

 

CYBERJAYA: Penang Black Panthers meraih kejuaraan berganda apabila menumbangkan ATM Guardians 2-1 di pentas final Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup, hari ini.

Skuad dari utara itu turut meraih kejuaraan STL Premier yang berlangsung secara liga bermula Oktober lalu dan kejayaan malam ini melengkapkan dominasi mereka.

Pada aksi final STL Champions Cup di Gem In Mall malam ini, mereka diberikan tentangan sengit oleh lawan yang mahu menebus kegagalan di STL Premier apabila terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kepada lawan yang sama.

ATM Guardians yang menampilkan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir selain pengumpan Norfaizzul Razak dan perejam Khairudin Adenan menang set pertama 21-17.

Bagaimanapun Penang Black Panthers yang membariskan tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi bangkit menyamakan kedudukan dengan menang 21-17.

Saingan sengit set ketiga menyaksikan Penang Black Panthers lebih ampuh apabila menang 21-19 untuk kemenangan 2-1 dan meraih RM25,000 selaku juara.

"Kelebihan servis Syahir untuk meraih mata tidak seperti yang diharapkan malam ini namun kami bertahan dengan baik untuk muncul juara.

"Sumbangan perejam import dari Thailand, Aekkasit Naphom turut memainkan peranan kerana banyak membantu kami meraih mata," kata jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail. 

Terdahulu Negeri Sembilan Antlers meraih tempat ketiga selepas menumbangkan 

Kelantan Warriors dalam aksi dua set dengan kemenangan 21-17, 21-8.

 

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 12:01am
d