arena

'2020 kami bawa pulang Piala AFF'

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Dua bintang muda negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid meletakkan sasaran untuk membawa pulang Piala AFF dua tahun lagi.

Harimau Malaya yang muncul naib juara empat tahun lalu sekali lagi berdepan detik kekecewaan di pentas akhir Piala AFF selepas kecundang menerusi agregat 2-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.

Safawi, 21, membuat lapan penampilan dalam lapan perlawanan Piala AFF kali ini, manakala Akhyar yang kerap dimasukkan sebagai pemain gantian beraksi enam perlawanan.

Safawi yang juga pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah mengumpul 17 penampilan dan meledak empat gol termasuk ketika berdepan Vietnam pada final pertama kejohanan dwitahunan itu membuktikan perkembangan positif bola sepak negara, terutama di bawah bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Saya kecewa kerana tidak membawa pulang piala, tapi bagi saya kami perlu meneruskan momentum ini terutama tampil dengan corak permainan hantaran pendek dan lebih tersusun,” kata Safawi yang menerima empat anugerah pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK2018) termasuk Pemain Paling Bernilai.

Sementara itu, Akhyar, 19, berkata dia berjuang untuk membantu Malaysia mencapai sasaran meraih kejuaraan kedua Piala AFF selepas 2010.

“Kami mencapai sasaran (ke final) tapi tidak bernasib baik (untuk muncul juara) dan sekarang ini saya perlu fokus kepada kelab. Saya harap dapat memberikan aksi lebih baik selepas ini.

“Bagi Piala AFF akan datang, saya akan cuba yang terbaik untuk berada dalam pasukan," kata Akhyar yang kini dikhabarkan bakal berhijrah ke JDT musim depan.

 

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 7:07pm
d