arena

'RM3 juta je lagi...'

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memerlukan RM3 juta lagi untuk menguruskan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, mereka kini berusaha keras mencari dana walaupun sudah memiliki hampir RM1 juta dalam bentuk wang tunai manakala RM1 juta lagi berupa barangan dan pengangkutan membabitkan pengurusan pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Setakat ini kami masih berbincang dengan dua syarikat yang berminat menaja pasukan negeri musim depan.

“Jumlah bajet yang diperlukan keseluruhannya RM5 juta untuk membiayai kos pengurusan dalam saingan Liga Perdana.

“Saya juga bangga dengan kemampuan syarikat milik bumiputera seperti PUC Sports yang bersetuju menaja jersi rasmi pasukan dan mengalu-alukan syarikat yang berminat membantu KAFA untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi ketika ini,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak penajaan, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung KAFA, Farah Anida Mansor.

Majlis menandatangani penajaan itu membabitkan lima penaja musim 2019 iaitu Rohm Wako Elektronik, Konsortium E-Mutiara, Exa Supply, PUC Sports dan Excel Printing.

Bibi berkata, Kelantan yang mengekalkan hampir 80 peratus pemain tempatan menyasarkan untuk menghuni tiga tangga teratas Liga Perdana musim depan.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 7:17pm
d