arena

'Red Devils bukan lawan mudah'

Oleh Agensi

PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel sudah bersedia untuk ‘ujian hebat’ berdepan Manchester United dalam peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Diundi bertemu peneraju Ligue 1 itu, bukanlah seperti diharapkan pengurus United, Jose Mourinho yang kini dihambat tekanan tinggi ekoran prestasi buruk pasukannya.

Ketika United mendapat laluan paling getir, pasukan lain England pula semuanya dijadualkan bertemu lawan dari Jerman susulan majlis undian yang dijalankan semalam.

Peneraju Liga Inggeris Liverpool yang menewaskan United 3-1, awal pagi semalam bakal membuat perhitungan dengan Bayern Munich, manakala Manchester City menentang Schalke.

Tottenham yang mara sebagai naib juara kumpulan di belakang Barcelona akan melayan cabaran peneraju Bundesliga, Borussia Dortmund yang berjaya membentuk penggempur muda England, Jordan Sancho menjadi antara senjata pemusnah baharunya.

Bagaimanapun, pertembungan United dan PSG yang masih belum tewas dalam liga domestik musim ini dengan mengutip 44 mata daripada 16 perlawanan, dilihat sebagai aksi paling sensasi bagi pusingan ini.

United tidak pernah bertemu PSG sebelum ini, namun akhirnya bakal berdepan bekas perancangnya Angel Di Maria, di samping Neymar yang juga pemain termahal dunia serta bintang Piala Dunia Perancis, Kylian Mbappe.

Skuad kendalian Tuchel meledak 17 gol sepanjang kempen Kumpulan C untuk layak di depan Liverpool, tetapi pernah tewas 3-2 kepada gergasi England itu dalam aksi di Anfield, September lalu.

Tuchel kekal berkata, tiada istilah pilihan apabila pasukannya bertandang ke England pada aksi pertama 12 Februari nanti dengan timbal balik kedua dijadualkan pada 6 Mac nanti.

“Kami mempunyai kualiti untuk menang di Old Trafford. Saya amat yakin dengan pasukan ini, tetapi ia pastinya cabaran yang hebat,” kata Tuchel pada sidang media menjelang pertembungan Ligue 1 menentang Orleans.

“Jika saya peminat bola sepak, saya pilih untuk menonton perlawanan ini di televisyen.

“Peringkat 16 terakhir sentiasa sukar. Saya tidak fikir kami turun sebagai pilihan.

“Kami perlu menghormati kelab yang berpengalaman beraksi dalam pertembungan utama Liga Juara-Juara seperti Manchester United. Mereka pernah memenangi pertandingan ini lebih dari sekali.”

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 8:19am
d