arena

Martial kekal setahun lagi

Oleh Agensi

MANCHESTER: Manchester United sudah mengaktifkan pilihan untuk memperbaharui kontrak Anthony Martial sehingga 2020, dedah satu sumber kepada ESPN FC.

Kontrak penyerang berusia 23 tahun itu bakal tamat pada akhir musim ini, namun United sudah mengaktifkan klausa yang akan menyaksikan dia terus kekal untuk tambahan 12 bulan lagi.

Langkah itu sama seperti dilakukan Red Devils ke atas kontrak penjaga gol David de Gea.

United kini berbincang dengan wakil Martial berhubung kontrak jangka panjang dan gergasi Liga Perdana Inggeris itu positif bahawa penyerang Perancis itu mampu diyakinkan.

Martial menjadi tidak gembira di Old Trafford selepas kehilangan tempat kepada Alexis Sanchez yang tiba daripada Arsenal pada Januari lalu, namun kembali memenangi hati Jose Mourinho kebelakangan ini.

Dia sudah mencetak tujuh gol dalam 13 penampilan liga musim ini dan kembali dipanggil ke dalam skuad Perancis selepas dipinggirkan Didier Deschamps untuk Piala Dunia lalu.

Dikhabarkan, United yang kini menghuni tangga keenam liga juga sudah memulakan perbincangan kontrak baharu untuk Ander Herrera, Juan Mata dan Ashley Young.

Trio itu bakal menjadi ejen bebas sebaik musim ini melabuhkan tirainya. Bagaimanapun mereka boleh mula menjalankan sebarang perbincangan dengan pasukan luar daripada England bermula 1 Januari ini.  

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 8:59am
d