arena

Peraturan baru WTA lindungi ranking pemain

Oleh Reuters

LONDON: Persatuan Tenis Wanita (WTA) akan melindungi ranking buat pemainnya yang kembali menyertai jelajah selepas cuti bersalin dan mengumumkan peraturan pakaian yang lebih moden bagi musim hadapan. 

Isu itu timbul apabila bekas pemain nombor satu dunia Serena Williams yang kembali beraksi tahun ini selepas melahirkan anak, diletakkan sebagai pemain bukan pilihan dalam beberapa kejohanan dan menimbulkan kontroversi selepas memakai sut hitam ketat ketika Terbuka Perancis.

Tetapi selepas memperoleh maklum balas daripada pemain, WTA berkata mereka menerima perubahan membenarkan pemain yang tidak menyertai kejohanan selama 52 minggu atau lebih untuk menggunakan Ranking Khas dalam 12 kejohanan.

Pemain yang kembali beraksi selepas melahirkan anak juga mempunyai tempoh tiga tahun menggunakan Ranking Khas itu.

Peraturan baru itu juga memastikan pemain yang diletakkan dalam undian utama tidak menentang pemain pilihan dalam pusingan pembukaan selepas kembali daripada mengandung atau kecederaan.

Ranking Serena jatuh ke kedudukan 451 apabila dia tidak diletakkan sebagai pemain pilihan di Terbuka Perancis. Pemain Amerika Syarikat itu bagaimanapun diletakkan sebagai pilihan ke-25 di Wimbledon biarpun berada di luar ranking 32 terbaik dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka yang kembali ke dunia tenis pada pertengahan tahun lalu selepas melahirkan anak lelaki mengalu-alukan peraturan itu.

“Pemain akan lebih selesa dan yakin untuk berehat bagi menumpukan kepada keluarga atau proses pemulihan akibat kecederaan dan saya rasa peraturan baru ini menyokong aspek terbabit,” kata Azarenka dalam satu kenyataan.  

 

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 12:54pm
d