arena

Siasatan menyeluruh perlu dilakukan

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Buat tahun kedua berturut-turut, seorang lagi penunggang yang bersaing dalam kancah Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS terbabit dengan kemalangan maut tragis.

Pada Mei tahun lalu, pelumba berpengalaman negara, Norizman Ismail, 32, meninggal dunia susulan kemalangan ketika sesi kelayakan pusingan ketiga kejuaraan yang berlangsung di Kijal, Terengganu.

Semalam, Mohd Hafiz Nor Azman, 22, seorang pencabar kejuaraan pada saingan tahun ini mengalami nasib sama selepas terbabit kemalangan dalam perlumbaan berlangsung di Dataran Bandar Penawar, Johor.

Tiada sebarang keraguan siri perlumbaan Cub Prix yang diperkenalkan pada 1994 memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat perlumbaan dua roda di negara ini dengan menyediakan landasan buat pelumba muda negara untuk berlumba.

Begitupun aspek keselamatan perlumbaan berkenaan, yang berlangsung di litar jalanan sempit dengan ruang minimum perlu dikaji semula dengan lebih teliti bagi memastikan insiden kehilangan nyawa tragis seperti ini dapat dielak.

Bapa Hafiz, Nor Azman Mad Darus dan bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemalangan berkenaan bagi memastikan sukan permotoran berkenaan tidak terus meragut nyawa.

Badan induk, Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan dan keputusan siasatan itu akan dijadikan kunci bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan dalam perlumbaan Cub Prix.

Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas berkata mereka mengalu-alukan siasatan terhadap insiden berkenaan.

Pengarahnya, Ron Hogg dalam kenyataan hari ini berkata syarikat berkenaan bersama pemegang lesen perlumbaan Kelab Sukan Bermotor Pulau Pinang akan memberikan kerjasama penuh terhadap badan berkaitan yang menyiasat perkara berkenaan.

“Seluruh keluarga Cub Prix bersedih atas kehilangan seorang pelumba muda berbakat, Mohd Hafiz yang meninggal dunia susulan kemalangan di pusingan ke-10 pada 16 Disember lalu,” kata Ron.

“Segala perincian, bahan dan laporan yang diperlukan berkaitan dengan insiden itu sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan - Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan pihak polis.

“Safe Aim Mutual Sdn Bhd, sebagai promoter perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, bersama penganjur Kelab Sukan Motor Pulau Pinang, mengalu-alukan siasatan AAM bagi menganalisis perkara berkenaan apabila semua laporan selesai. Kedua-dua pihak akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal ini.

“Kejuaraan Cub Prix Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ramai pihak yang menghubungi kami untuk menawarkan masa dan bantuan mereka selepas insiden ini.”

AAM yang mengeluarkan kenyataan lebih awal berkata badan induk itu akan menjalankan siasatan secepat mungkin.

“Litar itu diperiksa oleh Inspektor Rasmi Litar pada Jumaat, 14 Disember 2018 bagi memastikan segala ciri keselamatan dan halangan berada di tempatnya untuk perlumbaan berkenaan,” kata kenyataan itu yang ditandatangani Presidennya, Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha.

“Siasatan akan dijalankan dalam tempoh beberapa hari selepas menerima segala dokumen berkaitan terhadap siasatan insiden itu. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Mohd Hafiz.” 

 

 

 

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 2:08pm
d