arena

V Shem-Wee Kiong pula tinggalkan BAM?

Oleh Fabian Peter

ADAKAH Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal kehilangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong?

Itu desas-desus terbaru yang bertiup kencang selepas beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meninggalkan badan induk itu.

Menurut sumber, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu sudah mula mengadakan perbincangan dengan penaja luar dan dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan bulan ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) memberi amaran kepada pasangan yang sedang bergelut dengan masalah prestasi itu agar bangkit semula menjelang April 2019 atau berdepan tindakan disingkirkan.

Perkara ini juga tercetus selepas Jawatankuasa C&T mengumumkan badan induk berkenaan akan mengurangkan jumlah pemain kepada 48 orang termasuk jurulatih.

"Apa anda akan rasa jika anda adalah pemain utama tapi sentiasa dikritik dan diberikan amaran untuk bangkit sebelum April.

"Anda akan rasa V Shem-Wee Kiong akan masih lagi menunggu? Saya dengar mereka sudah berbincang dengan penaja di luar tapi saya belum pasti sama ada mereka sudah menyerahkan surat peletakan jawatan atau belum," kata sumber berkenaan.

Sejak berada di puncak bermula pada 2016, terutama sekali selepas meraih perak Olimpik, juara Terbuka Denmark dan Jelajah Dunia Akhir itu tidak mampu untuk mengekalkan prestasi mereka dan sudah dua tahun kemarau kejuaraan.

Walaupun BAM membuat keputusan untuk menumpukan kepada bakat muda untuk perancangan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, ia tetap membimbangkan apabila pemain terbaik membuat keputusan mengejut meninggalkan badan induk itu.

Ia bukan perkara yang menyenangkan buat BAM berikutan kelayakan Olimpik akan bermula Mei tahun depan.

Kehilangan pemain utama secara mengejut sudah pasti akan memberi kesan kepada penaja utama BAM.

Dua penaja utama BAM ialah pengeluar barangan sukan, Victor (RM60 juta) dan Celcom Axiata (RM34 juta).

"Buat masa ini perbelanjaan bulanan BAM mencecah RM30 juta setahun. Ia termasuk gaji pemain dan staf, kos menyertai kejohanan, program serta kejohanan pembangunan peringkat negeri.

"Kami masih belum pasti berapa peruntukan yang akan diberikan oleh kerajaan tahun depan. Ketiadaan pemain utama secara mengejut sudah pasti akan memberi kesan kepada penaja," katanya.

Beberapa pemain yang sudah meninggalkan skuad kebangsaan tahun ini ialah pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, gandingan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen dan tonggak beregu wanita, Woon Khe Wei.

 

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 10:30pm
d