arena

Sumareh cari cinta sejati

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Mohamadou Sumareh sekadar menyaksikan rakan sepasukannya dipujuk oleh isteri dan anak-anak selepas dilanda kesedihan tewas kepada Vietnam pada final Piala AFF di Hanoi, baru-baru ini.

Ketika saat itu, penyerang kelahiran Gambia itu yang juga pemain naturalisasi pertama negara merasai sedih dan kesunyian.

Sumareh, 24, yang sudah mendapat taraf kerakyatan mendedahkan kepada Sukan NSTP bahawa dia berharap dapat mendirikan rumah tangga supaya isterinya dapat menemaninya selepas perlawanan.

"Kami semua kecewa kerana tidak berjaya memenangi Piala AFF tapi bagi mereka (rakan sepasukan yang sudah berkahwin), mereka mempunyai isteri dan anak-anak bersama mereka, jadi perasaan mereka kembali ceria selepas bertemu.

"Untuk saya, saya sangat kecewa dan tidak ada apa yang bermain di fikiran selain perasaan kecewa di final.

"Ibu bapa saya dan dua kakak saya cuba memberikan saya semangat tapi perasaan itu tidak sama (bersama isteri di sisi)," katanya.

Sumareh yang mewakili Pahang dalam Liga Malaysia berkata, dia mendapat perhatian seluruh negara terutama peminat wanita selepas menjadi pemain naturalisasi pertama Malaysia.

Sumareh berkata: "Saya mengakui bahawa ketika saya mewakili pasukan PDRM (2013-2015), saya tidak dikenali.

"Sama seperti ketika saya menyertai Pahang tapi apabila saya menjadi pemain kebangsaan, saya menerima banyak mesej," katanya.

Sumareh yang beraksi cemerlang dalam kempen Piala AFF dalam merencana serangan Harimau Malaya berkata, dia berhati-hati untuk menjalin hubungan dengan seseorang.

"Saya tidak mahu wanita mementingkan kebendaan. Saya mencari seseorang yang perwatakan baik dan tahu bagaimana menjaga diri saya dan selalu menyokong saya.

"Keluarga saya kuat berpegang kepada agama. Apa yang penting wanita itu perlu jujur dan ikhlas dalam segala perbuatannya," katanya.

 

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 5:53pm
d