arena

Jijoe buru gelaran nombor 1

Oleh Azlan Muhammad Zain

 

KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh keirin negara Azizulhasni Awang semakin membara untuk memburu gelaran nombor satu dunia dalam acara keirin pada awal tahun depan.

Menurut Azizulhasni, kedudukan di ranking kedua dunia yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam membakar semangatnya untuk terus melakar kejayaan.

"Sebenarnya bagi saya untuk berada di kedudukan 10 terbaik dunia sudah mencukupi kerana objektif utama adalah untuk mengukuhkan kelayakan ke Olimpik Tokyo,” kata Azizulhasni ketika ditemui di majlis penyampaian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

"Namun jika saya meraih emas atau podium di Kejohanan Lumba Basikal (ACC) pada Januari di Jakarta, saya berkemungkinan besar mencapai kedudukan pertama dunia." 

Pelumba yang digelar The Pocket Rocketman hanya ketinggalan 55 mata di belakang jaguh Australia, Matthew Glaetzer yang berada di kedudukan pertama.

Azizulhasni menjelaskan kedudukannya untuk layak ke Olimpik dalam acara keirin agak selesa selepas meraih dua penamat podium pada siri Piala Dunia di Berlin dan London.

"Bagi acara individu untuk Olimpik, kedudukan keirin agak selesa namun untuk pecut individu dan pecut berpasukan," katanya.

Pada majlis berkenaan, pelumba kelahiran Terengganu itu menerima RM113,333.33  susulan pencapaiannya meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Asia tahun ini.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 8:31pm
d