arena

Hazard julang Chelsea

Oleh Reuters

LONDON: Jaringan minit ke-84 oleh Eden Hazard membolehkan Chelsea menewaskan Bournemouth 1-0 dan mara ke separuh akhir Piala Liga dalam aksi menarik, awal pagi tadi.

Chelsea lebih banyak menguasai perlawanan dan kerap menguji kubu Bournemouth sehinggalah Hazard yang masuk sebagai pemain gantian tampak lebih mengancam kubu lawan.

Chelsea menekan pertahanan lawan sejak awal perlawanan dan memperolehi beberapa peluang daripada Olivier Giroud dan Ross Barkley yang memaksa penjaga gol Bournemouth, Artur Boruc bekerja keras. Percubaan Willian pada minit ke-30 turut dihalang dengan cemerlang oleh Boruc.

Bournemouth juga berpeluang menjaringkan gol namun rembatan Callum Wilson pada minit ke-17 tersasar.

Larian deras Jordon Ibe berjaya membuka ruang pertahanan Chelsea 20 minit kemudian sehingga memaksa penjaga gol Kepa Arrizabalaga melayangkan badan untuk menyelamatkan rembatan melencong Lys Mousset.

Ruben Loftus-Cheek yang beraksi di bahagian serangan hampir memecahkan kebuntuan jaringan pada awal babak kedua selepas mengatasi dua pemain lawan tetapi rembatannya hanya beberapa inci tersasar dari tiang gol.

Kemasukan Pedro dan Hazard berjaya membentuk gandingan mantap yang membawa kepada jaringan kemenangan Chelsea apabila rembatan Hazard terkena pertahanan Bournemouth sebelum menerjah jaring.

“Pertukaran pemain kami menjadi penentu keputusan perlawanan,” kata penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola.

“Sudah tentu kami mengharungi banyak perlawanan dan pemain seperti Eden (Hazard) perlu kami pastikan dia sentiasa cergas. Walaupun dia masuk dalam tempoh 20 minit namun berjaya mencipta impak berkesan.”

Perlawanan di tempat sendiri itu adalah yang pertama sejak isu ejekan berbaur perkauman oleh penyokong Chelsea ke atas pemain Manchester City, Raheem Sterling sehingga memaksa Chelsea bertindak tegas.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:47am
d