arena

Harimau Malaya kekal tangga ke-167

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kekal di tangga ke-167 dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Kedudukan itu adalah kali kedua direkodkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe selepas naik dua anak tangga seperti yang diumumkan FIFA hujung bulan lalu.

Tidak banyak perubahan berlaku dalam ranking yang dikeluarkan FIFA kali ini dengan Harimau Malaya hanya mengalami pertambahan satu mata iaitu 985 berbanding bulan lalu.

Jumlah mata itu turut menyaksikan Harimau Malaya berada di kedudukan ke-36 Asia dan ketujuh dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Vietnam (100), Filipina (116), Thailand (118), Myanmar (139), Indonesia (159) dan Singapura (165).

Sementara itu, Belgium juga kekal sebagai pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,727 mata keseluruhan.

Juara dunia, Perancis yang ketinggalan satu mata di belakang menghuni tangga kedua manakala Brazil di kedudukan ketiga dengan 1,676 mata.

Secara keseluruhannya kedudukan dalam kelompok 10 teratas ranking dunia tidak berubah termasuk dari segi pungutan mata berbanding bulan lalu.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 6:09pm
d