arena

Adam ke CEV Eropah, ARRC

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali mengesahkan Adam Norrodin bukan saja akan menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) tetapi juga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim depan.

Selain itu Razlan berkata, Adam yang dijadual bertanding dalam kelas SuperSports 600cc di ARRC tidak akan berseorangan beraksi di pentas CEV.

Razlan berkata, seorang lagi pelumba akan menemani Adam di Eropah bersama pasukan yang dikendalikan ikon sukan permotoran dua roda negara Zulfahmi Khairuddin, ZK Racing Team.

“Kami buat persediaan buatnya menyertai dua kejuaraan iaitu CEV dan Kejuaraan Motosikal Asia. (Bagi peringkat) ARRC akan dikendalikan oleh pasukan ZK Racing dan kami akan umumkan pelumba kedua untuk ke Moto2 CEV dalam masa terdekat.”

Razlan berkata, pelumba kedua yang akan beraksi dalam kelas Moto2 di Eropah bersama Adam bukan dalam kalangan pelumba SIC yang berada dalam Program Impian ke MotoGP.

“Kami masih belum mempunyai pelumba (dari Impian ke MotoGP) yang benar-benar bersedia untuk ke Moto2 CEV,” katanya.

Berdasarkan desas-desus sebelum ini, nama juara dalam kelas perdana CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2017 yang juga naib juara tahun ini, Kasma Daniel Kasmayudin disebut-sebut untuk mengisi slot itu.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 6:47pm
d