arena

'FELDA United kena jelaskan...'

Oleh Aziman Rosdi

 

KUALA LUMPUR: FELDA United diminta memberikan penjelasan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan masalah kewangan dihadapi kelab itu sehingga gagal menjelaskan bayaran gaji pemain dan jurulatih.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mereka tidak akan menarik semula lesen kebangsaan yang sudah diberikan kepada FELDA United namun kedudukan kelab itu untuk menyertai Liga Super tahun depan bakal dibincangkan.

“Isu untuk menarik semula lesen FELDA United tidak timbul kerana mereka menerima lesen yang sah berdasarkan dokumen-dokumen diberikan sebelum tarikh tutup 30 Jun lalu, ketika itu mereka tidak ada sebarang masalah dan masalah tunggakan gaji ini hanya timbul selepas itu.

“FAM sehingga kini belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai tunggakan gaji ini sebaliknya hanya menerusi laporan media. Tapi kami mengambil inisiatif berhubung dengan FELDA United mengenai isu ini.

“Lesen mereka bagi musim depan tidak akan ditarik tapi mereka perlu mengemukakan penjelasan sejauh mana komitmen mereka untuk menyelesaikan tunggakan gaji itu dan perancangan kewangan untuk kekal bersaing musim depan,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Dalam laporan sebelum ini, ada gesaan supaya FAM dan badan pentadbir Liga Malaysia iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengkaji semula lesen FELDA United susulan dakwaan mengenai tunggakan gaji pemain dan jurulatih selama tiga bulan.

Antara yang mempertikaikan perkara itu adalah Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah yang hairan bagaimana First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM boleh meluluskan lesen kepada pasukan bermasalah.

FELDA United yang diturunkan ke Liga Perdana selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan 2017 berjaya kembali ke Liga Super selepas muncul juara saingan liga divisyen dua itu tahun ini.

Mengulas mengenai kedudukan kelab The Fighters dalam saingan Liga Super musim depan, Stuart berkata, ia bergantung kepada penjelasan mengenai perancangan kewangan kelab itu dalam masa terdekat ini.

“Kita mahu tahu kedudukan kewangan mereka sama ada kukuh atau tidak, kita tidak mahu ada pasukan menarik diri di pertengahan liga. Tapi kita percaya FELDA sebuah kelab dari syarikat besar yang memiliki kewangan dari sumber pelbagai, kalau mereka tidak mampu mereka sudah memaklumkan kepada FAM dari awal.

“Kalau boleh kita mahu FELDA United beraksi tapi kami mahu dapatkan penjelasan dulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 9:16pm
d