arena

Biar pemain nikmati bola sepak

Oleh Reuters

 

MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, dia hanya mahu barisan pemainnya menikmati kerjaya bola sepak mereka selepas dia kembali ke Old Trafford susulan pemecatan Jose Mourinho.

United mengikat perjanjian dengan bekas penyerang antarabangsa Norway itu sehingga hujung musim ini bagi menyelamatkan kelab itu yang beraksi hambar pada kempen musim ini.

United memecat Mourinho sebagai pengurus ketika pasukan itu menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan ia adalah permulaan terburuk The Red Devils dalam tempoh 28 tahun termasuk tewas 1-3 di tangan Liverpool, Ahad lalu.

Laporan media mengenai hubungan dingin Mourinho dengan pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang dibeli dengan harga 90 juta pound  (RM477.60 juta) dan corak permainan bertahan diterapkan pengendali dari Portugal itu menjadi berita utama dalam tempoh terakhirnya bersama United.

Solskjaer yang menjadi sebahagian pemain United ketika di bawah kendalian Alex Ferguson dan menjaringkan gol membolehkan kelab itu merangkul gelaran treble 20 tahun lalu itu mahu mengembalikan ‘mood’ positif dalam skuad ketika ini.

“Saya hanya akan menjadi diri sendiri…biarkan pemain menikmati bola sepak mereka dan tidak sabar untuk bertemu dengan penyokong semula,” kata Solskjaer.

“Kami berada dalam ‘bisnes’ yang mementingkan keputusan dan kami mahu mencatat kemenangan, itu adalah tugas saya. Kami mahu melihat mereka bermain bola sepak dengan prestasi terbaik.”

Solskjaer yang meninggalkan tugasnya selaku pengurus kelab Norway, Molde, berkata jadual perlawanan yang padat selepas ini membolehkannya memberi peluang kepada semua pemain untuk menarik perhatiannya.

Aksi bertemu Cardiff City yang mana dia membimbing kelab itu pada 2014, malam esok adalah permulaan kepada lima perlawanan dalam tempoh 15 hari.

“Jumlah perlawanan akan datang bukan satu masalah kerana kami memiliki skuad yang menakjubkan. Kami ada 23 hingga 24 pemain.

“Mereka semua memiliki kualiti dan akan mendapat peluang dengan perlawanan yang banyak selepas ini. Mereka ada peluang untuk membuktikan mereka adalah pemain Manchester United,” katanya.  

 

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 8:24am
d