arena

Alonso mungkin kembali

Oleh Agensi

LONDON: Fernando Alonso kemungkinan besar kembali ke perlumbaan Formula Satu (F1) seawal tahun depan dengan McLaren mahu menggunakan khidmatnya sebagai mentor kepada pelumba muda Britain, Lando Norris.

Alonso, 37, menamatkan kerjayanya sebagi pemandu F1 pada pusingan akhir di Abu Dhabi, bulan lalu.

Dia akan menyertai perlumbaan Indianapolis 500 pada Mei depan bersama McLaren tetapi pasukan yang bergelut itu mahu pemandu dari Sepanyol berkenaan terbabit dengan operasi F1 dan mahu dia menguji jentera musim depan.

Norris, 19, dianggap sebagai pemandu paling berbakat dengan dia dipilih bagi mengambil alih tempat Alonso dan bergandingan bersama Carlos Sainz untuk musim 2019.

Bagaimanapun, ketua pasukan McLaren, Zak Brown, berkata: Saya akan terkejut jika musim depan kamu tidak melihat Fernando di beberapa perlumbaan F1 bersama McLaren, menawarkan kepakarannya, dan ia termasuk dia menguji jentera.

“Saya ada bercakap dengan Fernando mengenai perkara ini, dia sangat terbuka. Juara dunia F1 sama ada Michael Schumacher, Alain Prost atau Mika Hakkinen, mereka tidak mahu berjauhan daripada hentian pit.

“Banyak yang boleh disumbangkan Fernando, Carlos dan Lando terbuka dengan apa jua idea. Fernando mengetahui pasukan ini dengan baik tetapi Lando tidak mempunyai pengalaman.

“Fernando akan buat keputusan apa yang dia mahu lakukan dan keputusan itu akan dibuat dalam tempoh 30 hari lagi,” katanya.

McLaren gagal memenangi perlumbaan sejak Lewis Hamilton meninggalkan pasukan itu pada 2012 dan sekadar menamatkan saingan kategori pengeluar di tangga keenam.

 

 

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 12:47pm
d