arena

Dortmund benam Gladbach

Oleh Reuters

DORTMUND: Borussia Dortmund menundukkan pasukan di tempat kedua, Borussia Moenchengladbach 2-1 dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi. Dortmund yang mengalami kekalahan pertama liga pertengahan minggu lalu kini kembali mendahului sembilan mata di carta kedudukan menjelang cuti musim sejuk.

Pemain muda Jadon Sancho dan kapten Marco Reus meledak gol buat Dortmund yang sebelum ini dikejutkan oleh Fortuna Duesseldorf apabila tewas 2-1 Selasa lalu, kini mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu dengan mengumpul 42 mata dari 17 perlawanan.

Gladbach yang menjaringkan gol penyamaan pada babak pertama menghuni tempat kedua dengan 33 mata namun berdepan kemungkinan tergelincir di kedudukan ketiga sekiranya juara bertahan Bayern Munich yang juga mengumpul 33 mata berjaya meraih mata apabila bertemu Eintracht Frankfurt malam ini.

“Ia agak sukar pada permulaannya dan bagi kami adalah penting untuk bertenang dan terus mengawal keadaan,” kata Reus.

“Sudah pasti setiap pasukan mahu merangkul gelaran. Saya bangga dengan pasukan kerana memberi semua yang kami ada dan dapat keputusan kami mahukan.”

Reus dan Paco Alcacer kini bersaing sengit dalam perebutan penjaring terbanyak selepas meledakkan 23 gol dalam liga sekali gus menjadikan saingan bertambah menarik.

Reus mempunyai peluang terbaik apabila berjaya memperdaya pertahanan Gladbach namun percubaannya dinafikan penjaga gol Yann Sommer.

Alcacer kemudiannya terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kekejangan otot paha selepas setengah jam beraksi.

Tempatnya diganti Mario Goetze yang kemudiannya membantu pemain antarabangsa England, Sancho meledakkan gol dari sudut sukar pada minit ke-42.

Pemain berusia 18 tahun yang membuat penampilan sebanyak tiga kali bersama England kini menjaringkan enam gol sepanjang saingan liga musim ini.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 8:43am
d