arena

Chelsea tak cuti Krismas

Oleh Agensi

LONDON: Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan beliau lebih gemar bermain bola sepak berbanding meraikan hari perayaan dan di sebabkan itu tiada ‘Krismas’ untuk pasukannya akibat jadual perlawanan yang padat.

Menurutnya, Chelsea tetap menjalani latihan sebelah petang pada malam Krismas dan sesi pagi pada hari Krismas selepas tamat perlawanan menentang Leicester City hari ini sebelum berkunjung ke Watford yang jatuh pada hari ‘Boxing Day’.

“Tiada Krismas buat kami. Kami perlu bermain setiap tiga hari iaitu 19, 22, 26, 30 pada Disember. 2, 5, 8/9 pada Januari. Jadi tiada cuti Krismas.

“Tetapi jika perlawanan malam, kami boleh duduk di rumah pada sebelah petang. Tapi jika perlawanan berlangsung pada 3 atau 1 petang, kami perlu bergerak ke hotel seperti biasa.”

Ditanya adakah beliau menikmati Krismas secara peribadi, Sarri berkata: “Tidak. Saya lebih suka bermain bola sepak. Saya bertuah kerana dalam aksi Serie B di Itali, kami bermain pada Krismas dan saya sangat sukakannya. Saya sangat sukakan Itali. Suasananya begitu indah. Bagaimanapun tidak mudah untuk mendapatkannya.

Bercakap pada sidang media sebelum perlawanan menentang Leicester, Sarri berkongsi pandangan mengenai Ruben Loftus-Cheek dan berkata masa depan pemain itu adalah di bahagian tengah dan percaya pemain berusia 22 tahun itu mempunyai potensi besar untuk menjadi bintang Chelsea.

Loftus-Cheek diberi kepercayaan berada kesebelasan utama atau menjadi pilihan sebagai pemain gantian buat Chelsea sepanjang tujuh perlawanan lalu, mempamerkan aksi memukau ketika mereka melakarkan kemenangan penuh bermakna menewaskan Bournemouth 1-0 di suku akhir Piala Carabao.

Sarri sering meletakkan Loftus-Cheek di bahagian sayap bergandingan dengan Ross Barkley dan Mateo Kovacic sebelum ini namun selepas perlawanan menentang Bournemouth Loftus-Cheek menyedari bahawa dia lebih menyerlah di bahagian tengah.

Sarri bersetuju dengan pandangan pemain itu. “Dia seorang pemain yang sangat baik. Mempunyai potensi untuk menjadi pemain yang hebat.

“Dia diturunkan tujuh perlawanan bulan lalu. Saya rasa empat perlawanan dalam kesebelasan utama dan tiga dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Saya sangat berpuas hati prestasinya yang semakin meningkat. Prestasinya dari sudut pandangan taktikal juga bertambah baik.”

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 10:28am
d