arena

Gaji bukan faktor utama

Oleh Agensi

LONDON: Unai Emery menegaskan gaji Mesut Ozil bukan faktor mempengaruhinya dalam membuat keputusan sama ada mahu menurunkan pemain Jerman itu atau sebaliknya.

Pengurus The Gunners itu turut enggan mendedahkan sama ada dia bersedia untuk menjual bintang utamanya itu pada pintu perpindahan pemain yang akan dibuka, bulan depan.

Keputusan Emery tidak menyenaraikan Ozil – pemain yang menerima gaji paling malah dalam sejarah kelab ketika menentang Tottenham Hotspur pada aksi suku akhir Piala Liga, Khamis lalu menghangatkan spekulasi dengan dia hanya memberitahu tindakan itu adalah disebabkan percaturan taktikal.

Ketika Ozil akan kembali bersama pasukan menjelang pertembungan dengan Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam ini, Emery menjelaskan dia tidak akan memberi layanan istimewa kepada pemain Jerman itu hanya kerana dia dibayar gaji sebanyak 300,000 pound (RM1.6 juta) seminggu.

“Gaji pemain tidak penting untuk saya. Saya tidak tahu gaji pemain kerana bagi saya semua pemain sama.

“Saya mahu memberi layanan yang adil kepada setiap pemain terutama dalam menentukan sama ada mereka bermain atau tidak. Apabila saya buat keputusan untuk menurunkan mereka, ia adalah disebabkan percaturan taktikal.

“Apa yang paling untuk saya adalah pemain memberi komitmen penuh ketika latihan setiap hari,” kata Emery.

Emery turut memberitahu, Ozil masih mempunyai masa depan bersama kelab itu biarpun ketiadaannya ketika aksi menentang Spurs menimbulkan persoalan mengenai hubungan mereka.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada dia terbuka untuk menjual Ozil atau meminjamkannya kepada kelab lain pada bulan depan, Emery berkata: “Saya tidak memikirkan situasi itu.”

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 11:42am
d