arena

JDT mahu terus dominasi Liga Super

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan mahkota Liga Super beralih dari kabinet trofi mereka apabila mensasarkan gelaran liga buat kali keenam berturut-turut musim hadapan.

Pemain tengahnya, Nazmi Faiz Mansor menegaskan impian untuk terus mendominasi saingan liga tempatan tetap menjadi misi utama sekalipun mereka bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Kami sentiasa mencipta sejarah selama ini dan visi ini perlu dikekalkan. Selain menjadi pasukan pertama dari Malaysia bermain di ACL, impian untuk menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut menjadi keutamaan kami. Saya bangga menjadi sebahagian dari projek besar ini.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar tetapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan dari segi taktikal kerana skuad ini belum lengkap sepenuhnya. 

"Kami akan menghadapi perlawanan pramusim bulan hadapan sebagai persiapan terakhir untuk mengharungi musim 2019," katanya menerusi laman Johor Southern Tigers, hari ini.

Selepas mencipta sejarah merangkul Piala AFC 2015, skuad Harimau Selatan itu maju setapak lagi apabila akan bersaing dalam ACL yang dianggap kancah tertinggi bola sepak Asia.

Diundi dalam Kumpulan E, JDT akan bertemu kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC namun dua lagi slot akan diisi pemenang 'play-off' bagi Zon Timur.

Berikutan bakal beraksi dalam ACL, dua pemain import baharu akan dibawa masuk untuk memantapkan pasukan membabitkan pemain pertahanan, Mauricio dos Santos dan pemain tengah yang juga abang bintang Atletico Madrid, Saul Niguez iaitu Aaron Niguez.

 

 

 

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 5:18pm
d