arena

UniKL ikat bintang hoki Belanda

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Sudah sah kini bintang antarabangsa Belanda yang pernah disenarai pendek calon akhir pemain terbaik dunia 2014, Robbert Kemperman dan dua lagi rakan senegaranya Valentine Verga dan Martijn Havenga akan menyarung jersi UniKL bagi kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Ini selepas ketiga-tiga pemain antarabangsa Belanda itu mendapat pengesahan Sijil Tiada Halangan (NOC) daripada Persatuan Hoki Belanda biarpun pada awalnya dikatakan mungkin terbabit dengan aksi Liga Pro Dunia yang turut menyingkap tirainya Januari ini.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, persetujuan ketiga-tiga pemain itu bakal menghangatkan saingan LHM 2019.

"Semua (enam) import sah akan beraksi buat UniKL dengan tiga dari Belanda sudah mendapat pelepasan NOC, jadi saya harap tiada masalah lagi untuk mereka datang ke Malaysia.

"Semua mereka akan tiba selepas berakhir saingan Piala Tan Seri P Alagendra pada 3 Januari nanti," kata Arul.

Ia bermakna, tiga import Belanda itu bersama kapten yang juga penjaga gol Ireland David Harte, Kieran Govers (bekas penyerang Australia) dan Tim Deavin (pertahanan Australia) sempat menjadi taruhan untuk aksi Piala Sumbangsih berdepan Pasukan Hoki Terengganu pada 10 Januari depan.

Verga, 29, yang menjadi sebahagian daripada skuad Piala Dunia Belanda yang muncul naib juara di Bhubaneswar, India baru-baru ini, pernah menyarung jersi THT tetapi memilih untuk mencuba angin baharu.

Namun, dalam semua enam import itu pastinya kejayaan menyambar Kemperman dan Havenga yang masing-masing berusia 28 tahun boleh dianggap sebagai luar biasa apatah lagi dengan status mereka yang beraksi dengan salah satu kelab gergasi Eropah, SV Kampong.

Dikhabarkan, kedua-dua pemain itu tertarik untuk datang ke Kuala Lumpur selepas diyakinkan oleh penjaga gol yang berada dalam musim keduanya di UniKL, Harte yang juga rakan sepasukan mereka di SV Kampong.

Pada masa sama, Arul turut menjelaskan hubungan baiknya dan faktor terhutang budi dengan Presiden Kelab Hoki UniKL, Datuk Amir Azahar menjadi antara sebab mengapa beliau terus kekal dengan juara Piala TNB 2018 itu.

"Agak berat hati untuk tinggalkan mereka sebab saya sudah enam musim bekerjasama dengan Datuk Amir, malah ia bukan waktu yang sesuai buat saya menerima tawaran THT ketika UniKL masih belum ada pengganti.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Cikgu Mohamad Saberi (Salleh, Presiden Persatuan Hoki Terengganu) yang mengemukakan tawaran kepada saya. Kalau ada rezeki di masa depan saya sedia bekerjasama dengannya."

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 5:21pm
d