arena

The Blues 'keliru mental'

Oleh Agensi

LONDON: Pengendali pasukan Chelsea, Maurizio Sarri berkata, pemain pasukan itu mengalami kekeliruan mental ketika tewas kepada Leicester 1-0 di Stamford Bridge, semalam.

The Blues tewas kali pertama di tempat sendiri musim ini selepas Jamie Vardy yang menerima hantaran dalam kotak penalti daripada James Maddison berjaya menembusi gawang tuan rumah minit ke-51. 

Chelsea dilihat mendominasi perlawanan sebelum rehat dan percubaan Eden Hazard terkena palang - peluang tunggal terbaik tuan rumah menjaringkan gol. 

Walaupun ketinggalan satu gol, barisan bimbingan Sarri dilihat gagal memberikan ancaman malah semakin goyah dengan Leicester turus melancarkan serangan bertali arus untuk memberikan tekanan kepada tuan rumah. 

The Foxes seterusnya mempunyai dua peluang mendahului tetapi berjaya disekat Cesar Azpilicueta untuk menafikan percubaan Vardy berikutan kegagalan Kepa Arrizabalaga menangkap kemas bola sebelum penjaga gol itu cemerlang menyelamatkan percubaan Marc Albrighton.

Cuba untuk terus memburu gol, Chelsea gagal memecah benteng lawan dan terlepas dua peluang terbaik pada babak akhir perlawanan. 

Pada minit ke-89 Antonio Rudiger melakukan percubaan daripada bahagian tepi sebelum Marcos Alonso mempunyai peluang untuk menembusi gawang apabila hanya berdepan dengan penjaga gol dua minit kemudian. 

"Kami bermain dengan baik untuk 55 minit," kata Sarri. 

"Saya fikir dalam beberapa keadaan situasi tidak memihak kepada kami tapi kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik. 

"Selepas lawan menjaringkan gol, aksi mula goyah. Kami sedikit terkejut dan mula keliru. Kami sebenarnya hanya perlu bermain seperti sebelum lawan menjaringkan gol, namun perlu masa untuk pulih," katanya. 

The Blues belum tewas di tempat sendiri sejak 1 April menentang Tottenham dan kekalahan itu menyebabkan mereka berkongsi mata dengan Arsenal yang kini di tempat kelima selepas menewaskan Burnley 3-1 semalam. 

Kedua-dua pasukan itu kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool. 

Bagi Leicester, kemenangan itu membolehkan mereka melonjak kedudukan ke tempat kesembilan liga dan ia adalah kemenangan pertama selepas 11 perlawanan di London.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 9:16am
d