arena

City 'hilang selera' sambut Krismas

Oleh Reuters

MANCHESTER: Manchester City selesa mendahului dengan kelebihan 13 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris menjelang Krismas tahun lalu, namun selepas dua kekalahan dalam tiga perlawanan, sambutan tahun ini pastinya hambar buat skuad kendalian Pep Guardiola.

Aura City semakin pudar dan peluang merangkul gelaran kedua berturut-turut kini tampak sukar.

Kekalahan 0-2 di tangan Chelsea dua minggu lalu membuka ruang buat Liverpool untuk mengejar tetapi tewas mengejut 2-3 kepada Crystal Palace malam tadi menyaksikan City kini ketinggalan empat mata di belakang skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Aksi musim perayaan bakal diakhiri dengan pertemuan dua pasukan teratas liga itu di Manchester pada 3 Januari depan dan menjadi peluang buat Liverpool mengukuhkan kedudukan teratas liga.

City akan berdepan aksi ‘Boxing Day’ yang mencabar apabila bertemu Leicester City yang menewaskan Chelsea di Stamford Bridge – sesuatu yang gagal dilakukan anak buah Guardiola.

Kemudian mereka akan berkunjung ke Southampton pada 30 Disember sebelum membuat perhitungan dengan barisan pemain Klopp bagi membuka tirai kempen tahun baru.

“Kami berada di bulan Disember dan kami akan cuba bangkit untuk kembali memenangi perlawanan. Masih banyak perlawanan yang perlu diharungi.

“Kami perlu segera bangkit dan kembali menguatkan mental dan fizikal kami,” kata Guardiola.

Anak Guardiola membuka jaringan di babak pertama menerusi Ilkay Gundogan tetapi anak buah Roy Hodgson bangkit mendahului permainan menerusi Jeffrey Schlupp, Andros Townsend dan penalti Luka Milivojevic.

Kevin De Bruyne merapatkan jurang pada minit ke-85 tetapi tidak mencukupi untuk mencetus kebangkitan City.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 9:21am
d