arena

'Pengadil teruk...'

Oleh Agensi

LONDON: Pengendali Burnley, Sean Dyche mengkritik pengadil selepas dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang memastikan Arsenal terus memberi tekanan dalam persaingan kedudukan empat teratas dan meletakkan Burnley di kedudukan tiga tercorot menjelang Krismas. 

Ashley Barnes menjaringkan gol buat pelawat dalam perlawanan dicemari pelbagai insiden apabila tujuh kad kuning dilayangkan namun gol Alex Iwobi pada minit terakhir membolehkan Gunners melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Clarets .

Skuad Dyche yang beraksi sepanjang 61 perlawanan liga tanpa penalti, berang dengan keputusan yang dilihat tidak memihak kepada pasukannya. 

"Banyak yang tidak menyebelahi kami. Ashley Barnes terkena siku di muka dari satu pergerakan tidak wajar dilakukan. Dua kekasaran dilakukan dan tiada siapa dikenakan tindakan," katanya. 

"Tapi paling nyata bagi saya adalah dalam 60 perlawanan tanpa sebarang penalti, dua kali bola terkena tangan Kevin namun penalti tidak diberikan kerana dia dilihat seperti tidak berlaku. 

"Selain daripada itu saya puas hati dengan prestasi pengadil."

Mesut Ozil yang membuat penampilan pertama dalam enam perlawanan liga membuat hantaran kepada Sead Kolasinac untuk membantu Aubameyang meledak gol ke-11 liganya musim ini. 

Selepas 18 perlawanan, Arsenal berjaya mendahului lawan sebelum rehat untuk kali pertama musim ini dan mengambil masa kurang dari tiga minit pada babak kedua untuk menggandakan kelebihan hasil serangan balas pantas yang disudahkan dengan cemerlang oleh Aubameyang.

Burnley bagaimanapun tidak berputus asa untuk merapatkan kedudukan dan berjaya menembusi gawang Arsenal pada minit ke-63. 

Penyokong tuan rumah mula gelisah apabila Burnley mula melancar serangan untuk memburu gol penyamaan namun jaringan Iwobi dari jarak dekat memastikan Gunners kini berkedudukan keempat bersama Chelsea yang tewas kepada Leicester di tempat sendiri.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 11:01am
d