arena

Syahmi aset Selangor

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Persembahan 'memukau' tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari sepanjang saingan Piala AFF 2018 diharapkan terus kekal dalam kempen bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) sekali gus membantu Selangor memburu trofi saingan domestik.

Pengendali Red Giants, B Sathianathan antara individu yang mengikuti rapat perkembangan Syahmi di Piala AFF, mengakui pemain kelahiran Jeram, Kuala Selangor itu aset berharga buat skuad Merah Kuning.

Katanya, gol cantik Syahmi ketika menentang Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok membuktikan dia seorang pemain 'serba boleh' apabila mampu bertahan dengan baik dan juga berupaya meledak jaringan.

"Ya, saya cukup tertarik dengan permainan Syahmi ketika saingan Piala AFF. Dia masih muda dan saya lihat Syahmi ada masa depan cukup cerah dan akan jadi aset besar buat Selangor.

"Saya harap dia akan terus bermain baik kerana tidak lama lagi liga (Liga-M) akan bermula. Saya akan cuba mengasah lagi permainannya dalam latihan," katanya.

Syahmi, 20, yang memulakan kariernya bersama skuad remaja Selangor kini muncul antara tonggak utama skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Aksi mantapnya di sebelah kanan sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan apabila kerap naik untuk membina serangan dengan melakukan hantaran silang yang mengelirukan pihak lawan.

Dia juga berjaya mencetak gol pertamanya di peringkat antarabangsa menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti ketika menentang Thailand yang menyaksikan gol itu bakal disenaraikan dalam Anugerah Puskas FIFA tahun depan.

Dalam aksi itu, Malaysia berjaya mengenepikan skuad Gajah Perang untuk mara ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan dengan agregat 2-2 sebelum tumbang kepada Vietnam menerusi keputusan 3-2 secara agregat di final.

 

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 1:34pm
d