arena

Pochettino harap pemain konsisten

Oleh Reuters

 

LIVERPOOL: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino optimis skuad kendaliannya mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini jika mereka terus mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Spurs yang kini menghuni tangga ketiga liga mampamerkan prestasi menakjubkan apabila membelasah Everton 6-2 di Goodison Park, awal pagi tadi sekali gus hanya ketinggalan dua mata di belakang penghuni tangga kedua, Manchester City.

Pasukan itu juga hanya dibezakan enam mata dengan pendahulu liga, Liverpool.

Prestasi cemerlang ditunjukkan anak buah Pochettino membuka ruang untuk mereka menyertai Liverpool dan City mencabar kejuaraan liga musim ini.

“Tidak, saya percaya Liverpool dan City masih kekal sebagai pasukan pilihan bagi menjuarai liga. Kami ada di sana tetapi begitu juga Chelsea, Arsenal dan Manchester United.

“Saya fikir, perjalanan kami masih jauh untuk saya mengatakan kami adalah pencabar utama. Dalam bola sepak, apa yang paling penting adalah konsistensi.

“Jika kami boleh mengekalkan konsistensi dan bermain seperti mana kami tunjukkan malam ini (awal pagi tadi) saya fikir kami boleh menjadi pencabar kejuaraan liga tetapi perjalanan masih jauh,”  kata Pochettino.

Harry Kane dan Son Heung-ming masing-masing meledak dua gol sebagai reaksi selepas ketinggalan 0-1 dan Pochettino berkata anak buahnya perlu menghasilkan keputusan seperti itu pada baki kempen musim ini jika mahu berada di kedudukan dua teratas liga.

“Kini, kami semakin hampir tetapi kami perlu berhati-hati, fokus satu demi satu perlawanan. Kami perlu berhati-hati dan terus bersaing.

“Perjalanan masih jauh dan kami perlu kekal konsisten,” kata pengendali dari Argentina itu yang berjaya membawa Spurs menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas liga sepanjang tiga musim yang lalu.

“Bermain dalam empat kejohanan sudah pasti bukan mudah tetapi kami cuba yang terbaik. Kami perlu sentiasa memikirkan mengenai perlawanan seterusnya dan cuba untuk menang.”

Spurs dijangka tidak berdepan masalah mengharungi aksi pada musim perayaan apabila melayan kunjungan Bournemouth untuk aksi ‘Boxing Day’ sebelum bertemu Wolverhamtpton Wanderers pada 29 Disember ini.

Mereka kemudiannya akan bertemu Cardiff City pada aksi tahun baru.  

 

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 8:40am
d