arena

Wolfsburg kekal rekod tanpa kalah 

 

BERLIN: Wolfsburg mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan dan melonjak ke tangga kelima Bundesliga selepas menewaskan Augsburg 3-2, awal pagi tadi.

Tonggak pertahanan, Yannick Gerhardt muncul wira Wolfsburg apabila meledak gol kemenangan pasukan itu.

Augsburg yang bergelut dalam zon penyingkiran terpaksa bangkit dua kali bagi menyamakan kedudukan tetapi Gerhardt menjaringkan gol kemenangan Wolfsburg ketika masa sebenar perlawanan berbaki seminit lagi.

Terdahulu, Wolfsburg membuka tirai jaringan menerusi Josuha Guilavogui pada minit ke-33 sebelum William meledak gol kedua lapan minit kemudian.

Bagaimanapun, Augsburg cuba mencetuskan kebangkitan apabila Rani Khedira dan Sergio Cordova masing-masing meledak satu gol pada minit ke-59 dan 58 bagi mengikat kedudukan sebelum Gerhardt memusnahkan hasrat lawan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

“Ia jaringan yang sangat lewat dan kamu perlu memuji Augsburg kerana beraksi dengan baik terutama pada babak kedua. Ia kemenangan penting untuk kami,” kata Gerhardt.

Bagi penyokong Ausgburg, ia kekalahan mengecewakan selepas mereka mengharapkan kemenangan pertama sejak kali terakhir pada hujung Oktober lalu  sebagai hadiah menjelang sambutan Krismas esok. – AFP

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 10:20am
d