arena

Nainggolan digantung

Oleh Reuters

MILAN: Pemain tengah Inter Milan, Radja Nainggolan digantung pasukannya atas alasan disiplin sekali gus melengkapkan tahun mengecewakan buat pemain itu yang sebelum ini mengumumkan persaraan daripada karier antarabangsa selepas diketepikan dalam senarai skuad Belgium ke Piala Dunia.

Keputusan Inter itu menyaksikan Nainggolan yang juga pernah digugurkan daripada AS Roma awal tahun ini terlepas peluang beraksi apabila Inter yang kini berkedudukan tempat ketiga bertemu Napoli, pasukan di tangga kedua.

“FC Internazionale Milano mengesahkan Radja Nainggolan digantung sementara daripada aktiviti bola sepak kerana masalah disiplin,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Media Itali melaporkan Nainggolan tiba lewat untuk menjalani sesi latihan.

Pemain berusia 30 tahun itu dilabelkan sebagai keras kepala, menyertai Roma pada musim panas lalu dengan nilai perpindahan 38 juta euro (RM180.7 juta) bersama Nicolo Zaniolo namun gagal memberi impak yang diharapkan.

Dia terlepas dua perlawanan liga bersama Inter musim ini kerana kecederaan namun meledak jaringan pada penampilan pertamanya ketika menang 3-0 ke atas Bologna.

Dia kemudiannya mengalami kecederaan ketika menewaskan AC Milan 1-0 dan biarpun pulih dengan cepat dia sekali lagi mengalami kecederaan ketika tewas dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Tottenham Hotspur sehingga terpaksa dikeluarkan sebelum separuh masa pertama tamat.

Nainggolan digugurkan dan dikenakan denda oleh Roma Januari lalu selepas menyiarkan gambar minum arak dan merokok pada parti tahun baru dalam laman sosial Instagram.

Selepas kembali dalam skuad, dia membantu Roma mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara namun diketepikan daripada skuad Piala Dunia Belgium oleh jurulatih Roberto Martinez.

Ia mendorong Nainggolan menamatkan kerjaya di peringkat antarabangsa dan menyalahkan Martinez yang menjadi penyebab utama mempunyai personaliti sedemikian.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 10:31am
d