arena

Lima atlet angkat berat digantung IWF

Oleh Reuters

LONDON: Lima atlet angkat berat termasuk dua juara Olimpik digantung sementara selepas ujian semula ke atas sampel diambil ketika Sukan Olimpik London 2012 didapati positif doping, kata Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Oleksiy Torokhtiy dari Ukraine boleh dilucutkan gelaran Olimpik dirangkulnya dalam kategori 105kg di London manakala atlet kelahiran Azerbaijan-Bulgaria, Valentin Hristov bakal kehilangan pingat gangsa dalam kategori 56kg.

“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bertanggungjawab terhadap keputusan berhubung atlet yang menyertai Olimpik London,” kata IWF.

“Dalam kesemua kes melanggar Peraturan Anti-Doping, tanggungjawab mengendalikan keputusan akan diserahkan kepada IWF untuk tindakan selanjutnya terhadap atlet yang menyertai Sukan Olimpik.”

Ruslan Nurudinov dari Uzbekistan yang menduduki tempat keempat dalam kategori 105kg di London, Melanie Daluzyan atlet Armenia dan Mikalai Novikau, Belarus turut digantung selepas Jawatankuasa Olimpik IOC menganalisis semula sampel ujian dan menemui sesuatu mencurigakan, kata IWF dalam satu kenyataan.

Nurudinov meraih emas di Olimpik Rio pada 2016 selain juara dunia ketika di Poland pada 2013 dan emas di Sukan Asia Jakarta tahun ini.

Acara angkat berat buat pertama kali dipertandingkan di temasya Olimpik pada 1896, kini hangat diperkatakan kerana masalah penyalahgunaan bahan terlarang dan IOC mengancam untuk menggugurkan sukan itu daripada temasya Olimpik Paris pada 2024 jika gagal untuk memperbaiki imej buruk.

IWF kini memperkuatkan polisi anti-doping yang mana negara yang didapati mengulangi kesalahan akan diharamkan daripada menyertai temasya Olimpik.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 11:37am
d